Sukan Hari Ini

Gladbach mahu cipta kejutan

Monchengladbach, Jerman: Borussia Moenchengladbach mahu memastikan kemenangan berturut-turut di bawah kendalian jurulatih sementara Andre Schubert bukan satu kebetulan ketika menanti kunjungan Manchester City awal pagi esok, sekali gus cuba mencipta kejutan dalam Liga Juara-Juara.

Kedua-dua Gladbach dan City kini memburu mata pertama mereka di Eropah selepas pasukan Jerman itu tewas 0-3 kepada Sevilla sebelum ini dalam Kumpulan D, manakala skuad Manuel Pellegrini tewas dua minggu lalu 1-2 di laman sendiri kepada naib juara musim lalu Juventus.

Gladbach bermula hambar musim ini dengan lima kekalahan berturut-turut di pentas Bundesliga, selain tewas kepada Sevilla yang menyaksikan Lucien Favre meletak jawatan sebagai jurulatih, biarpun mengemudi mereka ke tangga ketiga Bundesliga serta kelayakan Liga Juara-Juara.

Kedatangan Schubert mencetus impak segera sebagai ketua jurulatih apabila Gladbach menewaskan Augsburg 4-2 Rabu lalu, sebelum menang 3-1 ke atas Stuttgart pada Ahad.

Sebaliknya City menang lima perlawanan liga dan menjaringkan 11 gol tanpa bolos, tetapi tewas tiga daripada empat perlawanan dalam semua pertandingan sejak tewas kepada Juventus.

Tekanan mula dirasai skuad Pellegrini untuk memastikan kempen Eropah mereka kembali lancar di Jerman ketika mereka menduduki tangga kedua Liga Perdana Inggeris, ketinggalan satu mata berbanding Manchester United selepas tewas 1-4 kepada Tottenham Hotspur, Sabtu lalu.

“Kami perlu menang perlawanan ini,” kata pertahanan City dari Argentina, Nicolas Otamendi.

“Apabila anda melihat kepada kualiti dan standard pemain di kelab ini, ia menuntut kami beraksi di Eropah pada tahap tertinggi. Satu-satunya pilihan yang kami ada adalah meraih tiga mata.”

– AFP/Harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");