Isu Panas

Hindari keputusan lemahkan Umno

KUALA TERENGGANU – Tindakan memecat atau menggantung keahlian Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Shafie Apdal boleh melemahkan parti jika ia benar-benar berlaku.

Bagaimanapun, Pengerusi Biro Perlembagaan Umno Terengganu, Nawi Mohamad berharap ia hanyalah khabar angin, sebagaimana kenyataan dibuat Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Menurutnya, tindakan sedemikian bukan sahaja tidak menguntungkan, malah memberi kesan besar terhadap dalaman Umno memandangkan kedua-duanya dilihat mempunyai pengaruh di peringkat akar umbi.

“Dalam keadaan sekarang, kurangkan masalah dalaman Umno dan kekuatan Umno perlu diperkemas. Kita harap Umno buat keputusan yang boleh menguatkan parti.

“Kalau keadaan itu berlaku, ia sudah pasti akan mendatangkan sedikit sebanyak kesan terhadap ahli parti, kerana kedua-duanya sudah tentu punyai penyokong tersendiri yang akan kecewa dengan tindakan itu. Kita bimbang ia boleh mengundang masalah lain terhadap parti,” katanya kepada Sinar Harian, di sini.

Dalam laporan agensi berita melalui Sinar Harian 4 September lalu, Hishammuddin menolak dakwaan bahawa Majlis Tertinggi (MT) Umno yang dijadualkan bersidang pada 9 September ini, akan memecat atau menggantung keahlian Muhyiddin serta Mohd Shafie.

Selain mereka, terdapat lima lagi nama didakwa bakal dipecat antaranya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Datuk Seri Aziz Sheikh Fadzir, Datuk Seri Ahmad Said, Datuk Hamidah Osman dan Datuk Jumat Idris.

Nawi berkata, beliau tidak tahu sejauh mana kebenaran dakwaan itu, tetapi berharap ia sebagaimana disuarakan pemimpin kanan parti yang menyifatkannya sebagai khabar angin.

Bagaimanapun pihaknya menyerahkan kepada kepimpinan untuk membuat keputusan terbaik demi kelangsungan parti.-sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");