Berita Hari Ini
Like

Hujan tak ubah tahap jerebu

September 9, 2015
64 Views
0 Comments
1 minute read
Hujan tak ubah tahap jerebu

Kuala Lumpur: Keadaan jerebu di sekitar ibu kota, terutama Batu Muda tidak banyak berubah sepanjang semalam walaupun hujan lebat di sebelah pagi.

Menurut portal Jabatan Alam Sekitar (JAS), Batu Muda mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat sejak jam 6 pagi dan terus meningkat ke sebelah petang.

Turut berdepan bacaan IPU tidak sihat sepanjang hari adalah bandar raya Melaka, Bukit Rambai, Nilai, Port Dickson, Seremban dan Banting.

Samarahan di Sarawak pula merekodkan perubahan bacaan IPU sederhana (86) pada sebelah pagi kepada tidak sihat (102) pada sebelah petang.

Tinjauan Harian Metro di beberapa lokasi tumpuan sekitar ibu kota mendapati, orang ramai mula mengenakan topeng muka sebagai langkah berjaga-jaga.

Pelajar sekolah antara paling ramai dilihat memakai penutup hidung dan mulut atas faktor jerebu serta kualiti udara tercemar selepas hujan.

Pengguna transit aliran ringan (LRT), Norlina Hamzah, 27, berkata, dia mengenakan topeng muka kelmarin berikutan tidak tahan dengan kesan jerebu di ibu kota.

“Saya menghidap asma dan perlu berhati-hati ketika musim jerebu.

Walaupun udara di Kuala Lumpur masih mencatat bacaan sederhana, saya sudah mula tidak selesa.

“Selain pernafasan terganggu, mata juga mudah pedih terutama ketika berjalan kaki dari stesen LRT ke pejabat,” katanya.

Sehingga jam 5 petang semalam, lapan lokasi di lima negeri mencatat IPU tidak sihat, berbanding tujuh kawasan di sebelah pagi.

IPU di bandar raya Melaka mencatat bacaan 114, Bukit Rambai (129), Nilai mencecah 133, Port Dickson (113), Seremban (107), Samarahan (105), Banting (102) dan Batu Muda, Kuala Lumpur (106).

-Harian Metro

Komen & Pendapat

Leave a Reply