JURULATIH perseorangan lelaki negara, Hendrawan meminta supaya semua pihak tidak terlalu awal membuat rumusan mengenai kemampuan Datuk Lee Chong Wei untuk memburu pingat emas di Sukan Olimpik tahun depan susulan tersingkir awal pada pusingan kelayakan Terbuka Korea, Selasa lalu.
Menurut Hendrawan, semua orang perlu imbas semula yang Chong Wei sebelum ini berdepan penggantungan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) untuk tempoh lama sebelum kembali semula ke gelanggang hujung April lalu.
Justeru itu katanya, jaguh badminton negara itu perlu diberi ruang untuk mengembalikan kecemerlangan termasuk perlu diberi sokongan penuh untuk membawa misi Olimpik.
“Apabila menang, semua puji, bila kalah macam-macam kritikan yang dilemparkan termasuk suruh dia bersara.
“Itu bukan sikap yang bagus sebagai peminat badminton negara. Di saat begini, kita harus menyokong dan memberi kata semangat kerana kita tahu Chong Wei masih bergelut untuk kembali seperti dulu,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Prestasi Chong Wei mula mencetus kebimbangan peminat badminton tanah air selepas tewas kepada pemain kurang ternama tuan rumah, Heo Kwang Hee 19-21, 19-21 dalam pusingan pertama kelayakan, sekali gus gagal buat kali pertama beraksi dalam undian utama kejohanan Siri Super sejak ia diperkenalkan pada 2007.
Hendrawan berkata, beliau akan berbincang dengan Chong Wei untuk menganalisis apa yang berlaku ketika di Terbuka Jepun dan Terbuka Korea.
“Kami akan duduk berbincang untuk menyelesaikan perkara ini, tapi ketika ini Chong Wei perlukan rehat dan saya faham situasi yang dialaminya sekarang,” katanya.-sinar harian