Membawang Hari Ini

Kenali tokoh negara dalam UWMMM

KOMEDI seram gaya Mamat Khalid kembali lagi. Kali ini menggunakan judul Usop Wilcha Menghonjang Makhluk Muzium (UWMMM) sebagai taruhan.

Bukan sahaja menggunakan tajuk panjang yang mungkin sekali sebagai cubaan beliau untuk lari dari dikaitkan dengan Zombi Kampung Pisang atau Hantu Kak Limah Balik Rumah, tapi juga mempertaruhkan kekuatan watak Usop Wilcha itu sendiri sebagai peneraju utama filem tersebut.

Sebagai seorang yang mengikuti setiap filem garapan Mamat, penulis percaya penonton baru yang tidak pernah menonton naskhah Mamat sebelum ini mampu memahami dan mengikuti jalan cerita filem ini tanpa menimbulkan banyak persoalan.

Boleh dikatakan, jalan cerita atau plot filem ini telah diceritakan dengan jelas dan sehingga ke akhirnya meski pun bagi watak pembantu atau sampingan.

Tokoh hidup

Pernah anda terfikir apa akan berlaku sekiranya makhluk yang dipamerkan di muzium hidup semula pada zaman milenium ini?

Lebih menyeronokkan, mereka yang hidup adalah negarawan terbilang seperti Sultan Mahmud Syah bersama Bendahara baginda Tun Perpatih Puteh dan hulubalangnya; Datuk Maharajalela, Si Putum serta pengikut-pengikut mereka.

Keempat-empat negarawan ini saling berbalah menunjukkan kehebatan masing-masing dan ada kalanya saling menuding dan memburuk-burukkan kelemahan yang lain.

Itulah keunikan yang ditonjolkan di dalam filem terbitan Syed Mohamad Asri (Usop Wilcha) dan D Siney Production ini.

Meski pun kewujudan mereka diterangkan secara sinis melalui dialog lontaran Usop Wilcha, namun ia cukup untuk memberi pemahaman kepada penonton mengenai kehebatan lagenda-lagenda tersebut.

Melengkapkan genre komedi, watak sampingan seperti Perak Man lakonan Pyanhabib dan Pak Jabit lakonan Man Kadir juga menggamatkan suasana.

Wajar dipuji

Dari segi visual, penulis memuji filem ini kerana nampak ada usaha untuk mencantikkan sinematografinya lebih-lebih lagi pada saat penampakkan entiti hantu Ngesot yang mempunyai gaya tersendiri. Begitu juga bagi watak Wolve dan suara seram watak hantu-hantu yang lain.

Ia menarik namun tidak dinafikan filem ini kurang indah dari segi visual, permainan warna serta gabungan bunyi yang tidak begitu mantap untuk filem yang genre seram.

Mungkin ada yang akan membandingkan beberapa persamaan antara filem ini dengan filem Hollywood berjudul Night At The Museum lakonan Ben Stiller, namun bagi penulis, meski pun mengangkat latar belakang kejadian yang sama iaitu, berlaku di muzium dengan bahan pameran yang hidup, filem ini mempunyai mesej yang tersendiri.

Antaranya babak Pak Jabit yang memberi rasuah kepada kakitangan muzium semata-mata untuk mendapatkan tender. Rasuah pula bukan perkara yang besar, perkara kecil pun mampu membeli jiwa seorang pegawai yang tidak jujur dalam pekerjaan.

Sedikit latar belakang filem, apabila institusi muzium semakin kurang mendapat sambutan, pihak pengurusan telah mengadakan satu pameran Hantu-Hantu Dunia untuk menarik orang ramai mengunjungi muzium.

Tanpa disedari, penganjur pameran Hantu-Hantu Dunia ini merupakan pengamal ilmu hitam dari Romania yang telah berpakat untuk menghidupkan kembali Raja Dracula iaitu Vlad The Impaler.

Mengikut kepercayaan mereka, Raja Dracula akan hidup kembali sekiranya mendapat darah segar dari setiap benua dan lokasi terakhir mereka adalah di Malaysia.

Di sinilah peranan Usop Wilcha dan beberapa tokoh negara yang hidup semula ini berlaku. Mereka sama-sama berganding bahu mahu menyelamatkan dunia dari Raja Dracula tersebut.

UPSOP WILCHA MENGHONJANG MAKHLUK MUZIUM (UWMMM)
PENGARAH: MAMAT KHALID
PELAKON: SHY8, NASIR BILAL KHAN, NAMRON, HITLER ZAMI, ALONG EZZENDY, FARADHIYA, PYAN HABIB, KAMARUL YUSOFF, MAN KADIR, ELIZABETH TAN.
GENRE: KOMEDI
DURASI: 85 MINIT
KLASIFIKASI: P13
TAYANGAN: 3 OKTOBER 2015
KESELURUHAN: *** BESTLAH

-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");