SERDANG – Kerajaan akan mengkaji kesan jerebu terhadap industri pertanian negara terutamanya tanaman, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.
Beliau berkata keadaan jerebu memberi kesan kepada sinaran matahari yang merupakan keperluan utama dan makanan semua tanaman.
“Kalau (jerebu) terlalu lama dan tebal, kita bimbang akan memberi kesan kepada tanaman. Ini adalah perkara yang menjadi perhatian dan kerajaan akan melihat kesannya,” katanya kepada pemberita selepas melawat Taman Kekal Pengeluaran Makanan di Kompleks Jabatan Pertanian Serdang di sini hari ini.
Dalam perkembangan lain, Ahmad Shabery berkata, kerajaan akan mengkaji pembelian input pertanian yang dibuat dalam dolar Amerika Syarikat (AS) bagi mengawal kesan kenaikan dolar kepada sektor pertanian negara.
“Sebagai contoh, apabila beli baja dari China, apakah Malaysia perlu menggunakan AS Dolar atau menggunakan Reminbi. Bagi saya lebih baik guna Reminbi daripada Dolar kerana lebih stabil.
“Langkah ini (penggunaan Reminbi) akan membantu para petani mengatasi kesan kenaikan Dolar yang mendadak. Oleh itu, penggunaan matawang selain Dolar AS perlu dikaji,” katanya.
– Bernama