Jenayah

Kolonel antara 8 individu didakwa

KUALA LUMPUR – Seorang bekas doktor tentera berpangkat Kolonel antara lapan individu yang akan dituduh di dua buah Mahkamah Majistret esok atas kesalahan pembunuhan kejam ke atas Timbalan Ketua Bahagian Bicara dan Rayuan, Jabatan Peguam Negara, Anthony Kevin Morais.

Semua mereka merupakan antara 11 suspek yang ditahan dalam serbuan besar-besaran oleh Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (STAFOC) di seluruh negara, sejak 15 September lalu.

Difahamkan, kesemua mereka akan dituduh di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, Jalan Duta dan Mahkamah Majistret Petaling Jaya selepas kertas siasatan berjaya dilengkapkan.

Menurut sumber, tujuh daripada mereka akan didakwa atas kesalahan membunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan manakala seorang lagi suspek akan dituduh di bawah Seksyen 109 dan Seksyen 302 kanun sama atas kesalahan bersubahat membunuh.

“Tujuh daripada mereka akan didakwa di Mahkamah Jalan Duta manakala seorang lagi suspek yang merupakan seorang mekanik akan dituduh di Mahkamah Majistret Petaling Jaya.

“Selain itu, tiga suspek lagi akan dibawa ke Mahkamah untuk tindakan selanjutnya dan mereka dijangka dibebaskan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Dalam pada itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Zainuddin Ahmad ketika dihubungi mengesahkan pendakwaan berkenaan.

Bagaimanapun, Zainuddin enggan mengulas lanjut berhubung perkara itu.

Mayat Kevin, 55, ditemukan di dalam tong dram yang dipenuhi simen di dalam kawasan paya di Jalan Subang 3, Subang Jaya, pada 16 September lalu selepas empat suspek termasuk seorang bekas doktor tentera berpangkat Kolonel ditahan.

Beliau dilaporkan hilang ketika dalam perjalanan menuju ke pejabatnya di Putrajaya pada 4 September lalu.

Hasil siasatan mendapati, mang­sa dipercayai dibunuh selepas dilarikan sekumpulan individu di Jalan Dutamas, Damansara di sini menuju ke utara sebelum mayatnya dibawa ke Subang Jaya dan disumbat dalam guni serta dimasukkan ke dalam tong dram yang dicurahkan simen.

Sejak 15 September lalu, sebanyak 11 suspek telah ditahan reman bagi membantu siasatan kes pembunuhan kejam itu.

– Utusan Malaysia

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");