Sukan Hari Ini

Lokasi kompleks sukan dikenal pasti

HULU TERENGGANU: Kerajaan negeri telah mengenal pasti tapak bersesuaian bagi pembinaan sebuah kompleks sukan di daerah ini sebagaimana diumumkan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, ketika program Fit Malaysia di Pantai Batu Buruk, Sabtu lalu.

Pengerusi Belia, Sukan dan Sumber Manusia negeri, Datuk Rozi Mamat berkata, kompleks sukan yang bakal dibina secara berperingkat itu akan dibina di Kampung Kuala Ping melibatkan keluasan tanah kira-kira 8.9 hektar.

“Pengumuman dibuat beliau (Khairy) pastinya berita menggembirakan khususnya bagi penduduk daerah ini. Bagi tujuan itu, kita telah kenal pasti lokasi bersesuaian dan ia kini dalam proses teknikal di peringkat Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Terengganu.

“Saya difahamkan juga ia dalam proses tender dan Insya-ALLAH, kerja-kerja pembinaan akan bermula akhir tahun ini ataupun awal tahun hadapan. Peruntukan bagi kemudahan sukan ini diluluskan pihak kementerian,” katanya.

Menurut beliau, peringkat permulaan projek itu dijangka menelan perbelanjaan sehingga RM8 juta bagi fasa pertama iaitu melibatkan pembinaan di kawasan seluas kira-kira 2.8 hektar dan seterusnya enam hektar lagi tambahan.

“Apabila siap kelak, kompleks sukan ini akan dilengkapi kemudahan seperti gelanggang futsal, gelanggang badminton, padang bola, bangunan pejabat dan dewan untuk ‘indoor games’,” katanya kepada pemberita di SK Kuala Telemong, di sini, kelmarin.

Terdahulu, Rozi yang juga Adun Telemong beramah-mesra dengan murid tahun enam sekolah tersebut sempena program Santai Bicara Calon UPSR 2015 Dun Telemong.

Hadir sama Pegawai Pelajaran Daerah Hulu Terengganu, Jalaludin Ismail.

Dalam perkembangan berlainan, Rozi berkata, kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM50 juta untuk membina sebuah mini stadium di Bandar Kuala Berang melibatkan keluasan tapak kira-kira 9.7 hektar.

Sementara itu, Jalaludin berkata, seramai 1,365 calon serta lapan Calon Berkeperluan Khas (CBK) dijadualkan menduduki UPSR 2015 di 49 pusat pemeriksaan seluruh daerah Hulu Terengganu dan calon CBK melibatkan SK Kua (2 orang), SK Peroh (5 orang) serta SK Nibong (1 orang).

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");