Jenayah

Lontar bom akibat marahkan kawan abang

ALOR GAJAH – Seorang lelaki dipercayai mabuk melontar tidak kurang tiga molotov koktel ke arah sekumpulan lelaki di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Rembia, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 10.30 malam itu, lelaki berusia 41 tahun itu dikatakan bertindak demikian kerana berang abangnya dimarahi rakan.

Menurut sumber, dalam keadaan mabuk, lelaki tersebut memandu kereta jenis Honda Accord sebelum berhenti dan melontar molotov koktel dipercayai buatan sendiri.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Muhammad Ismail Muhammad Yusuf berkata, kejadian itu turut disedari anggota bertugas di Balai Polis Rembia yang terletak hanya beberapa meter dari lokasi sebelum membuat pemeriksaan.

“Selepas mendengar letupan kecil, anggota bertugas di balai berkenaan membuat pemeriksaan ke lokasi yang terletak di sebelah balai.

“Seorang anggota dan seorang anggota Sukarelawan Polis DiRaja Malaysia (SPDRM) mendapati seorang lelaki sudah ditahan sekumpulan lelaki yang kemudian menyerahkannya kepada polis,” katanya di sini, semalam.

Muhammad Ismail berkata, pemeriksaan terhadap kereta dipandu lelaki berkenaan membawa kepada penemuan lapan botol kaca mengandungi cecair petrol di dalamnya.

“Hasil pemeriksaan, tujuh botol kaca menggunakan kertas sebagai penutup disimpan dalam kotak dan diletakkan di atas tempat duduk penumpang hadapan, manakala sebotol lagi ditemui di bawah tempat duduk penumpang hadapan tanpa penutup selain tiga pemetik api,” katanya.

Menurutnya, lelaki berkenaan dipercayai membaling tiga molotov koktel di tempat kejadian berdasarkan penemuan tiga bahagian bawah botol kaca dipercayai serpihan bahan letupan buatan itu, di lokasi kejadian.-sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");