IPOH: 60 pasangan diraikan dalam satu majlis resepsi penuh meriah bersempena Majlis Nikah Jamaie Syarie anjuran Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) berlangsung di Hotel Casuarina@meru hari ini.
Majlis dihadiri oleh Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan isteri Datin Saripah Zulkifli.
Majlis bermula dengan bacaan doa dan acara memotong kek perkahwinan secara beramai-ramai di susuli dengan makan malam serta persembahan.
Penganjuran Majlis Nikah Jamaei syarie merupakan kali yang ketiga melibatkan penyertaan pasangan pengantin dari seluruh negeri Perak.
Program ini juga turut dimeriahkan lagi dengan kehadiran wakil keluarga setiap pasangan pengantin.
Turut hadir, Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Datuk Mohd Yusop Husin.
Sementara itu dalam ucapannya sebentar tadi,Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd kadir turut berkongsi panduan dalam membentuk keharmonian rumah tangga.
Ujarnya menjadi keperluan bagi ibu bapa untuk mendoakan supaya anak-anak memperolehi jodoh yang baik.
“Hidup dalam alam rumahtangga memerlukan pasangan menempuh suasana hidup dalam kemesraan dan hidup dalam rumah yang diibaratkan syurga,” katanya.
Para suami isteri katanya perlu mengetahui tugas dan tanggungjawab masing-masing selain daripada peranan suami memupuk sifat kasih dan sayang pada isterinya.
“Hendaklah sentiasa sabar dalam kehidupan berumahtangga menempuh cabaran kehidupan ada masa senang dan susah adalah untuk diuji kasih dan sayang,” katanya lanjut.
Objektif majlis ini adalah bagi mengumpul seberapa ramai pasangan yang berminat unuk mengadakan permasyhuran pernikahan secara beramai-ramai mengikut syariat Islam.
Majlis nikah Jamaie Syarie adalah satu program yang telah tersenarai dalam kalendar aktiviti tahunan Jabatan Agama Islam Perak.
Terdahulu, pada sebelah pagi telah berlangsung Majlis akad nikah dijalankan di Masjid Sultan Azlan Shah Ipoh.