Jenayah

Maritim tahan bot nelayan

KUALA TERENGGANU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) menahan sebuah bot nelayan tempatan kelas C2 yang dikendalikan sekumpulan nelayan asing pada jarak 22.3 batu nautika dari Pantai Merchang, Marang, Isnin lepas.

Pengarah Logistik Maritim Daerah Maritim (DM) 9 Kuala Terengganu, Lt. Komander Mohamad Zainal berkata, bot nelayan yang dikendalikan lima nelayan Thailand berusia sekitar 24 dan 31 tahun itu dikesan sebelum ditahan pada kira-kira 10 pagi.

“Ketika ditahan, mereka baru sahaja melabuhkan aktiviti menunda pukat. Malah hasil pemeriksaan lanjut mendapati mereka ini berpangkalan di Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Kuantan.

“Bagaimanapun kesemua awak-awak dan tekong mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah dan kita telah merampas satu tan metrik ikan bercampur kerana mereka dikesan melakukan aktiviti menangkap ikan di kawasan zon yang tidak dibenarkan iaitu 30 batu nautika dari pantai,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Katanya, rondaan kerap dilakukan Maritim kerana sering menerima aduan dan laporan dari nelayan tempatan ekoran kekerapan pencerobohan bot pukat tunda kelas C dari luar Terengganu yang memasuki kawasan B dan berhampiran pantai.

Menurut Mohamad, bot berkenaan dibawa ke pangkalan Maritim Pulau Kambing di sini dan kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 seksyen 8(b) yang menyalahi syarat sah lesen yang membawa hukuman kompaun.

“Ini adalah kali kedua kita menahan bot yang dikendalikan nelayan asing itu dimana pada Oktober tahun lalu, mereka turut dikesan lakukan kesalahan sama,” katanya menambah pihaknya tidak akan bertolak ansur dengan pihak yang melakukan kesalahan maritim di perairan negara.

“Ini bagi memastikan ekosistem di pesisir pantai tidak dimusnahkan selain menjaga kepentingan nelayan tempatan,” katanya. – Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");