KELANTAN melancarkan misi wajib menang apabila bertemu Felda United FC pada aksi kedua Kumpulan C kempen Piala Malaysia di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, malam esok.
Kapten The Red Warriors (TRW), Mohd Badhri Radzi berkata, pasukannya perlu mencatatkan kemenangan ke atas skuad The Fighters bagi memastikan kedudukan mereka terjamin untuk mara ke peringkat suku akhir.
“Memang benar pertemuan ini digambarkan sesuatu yang sukar bagi kedua-dua pasukan tetapi kami tidak ada pilihan selain perlu menewaskan Felda United untuk mengukuhkan kedudukan dalam kumpulan ini.
“Bagi saya, ia tidak mustahil untuk dilaksanakan tambahan pula kami bermain di tempat sendiri. Selain itu, kami mahu melangsaikan dendam kalah kepada mereka pada aksi Liga Super musim ini,” katanya, semalam.
Justeru, pemain tengah berusia 33 tahun itu mahu rakan sepasukannya mengetepikan segala permasalahan termasuk isu tunggakan gaji, sebaliknya menuntut mereka memberikan tumpuan penuh ketika berdepan anak buah Irfan Bakti Abu Salim.
Pada masa sama, Mohd Badhri turut mengingatkan rakan-rakannya agar lebih berwaspada dengan keghairahan Felda United yang sudah pasti turun dengan misi memburu tiga mata selepas mengalahkan T-Team pada aksi pembuka tirai, baru-baru ini.
Menurutnya, Felda United mempunyai ramai tonggak berpengalaman selain tenaga import yang sentiasa menjadi sumber inspirasi pada saat-saat pasukan berstatus kelab itu terdesak meraih kemenangan, pada perlawanan penting.
“Saya dengar penyerang mereka, Muhammad Ferris Danial (Mat Nasir) memainkan peranan penting ketika bantu Felda tewaskan T-Team. Jadi kami tidak boleh terlepas pandang kelibat bekas pemain Harimau Muda itu.
“Indra Putra (Mahayuddin), Muhammad Shukor (Adan), Makeche (Ndumba) dan Zah Rahan (Krangar) juga mampu menjadi watak pemusnah buat Kelantan jika kami membiarkan mereka bermaharajalela pada pertemuan malam esok,” katanya.-sinar harian