Panasnya Hari Ini

Pakatan Harapan Calonkan Anwar Sebagai Perdana Menteri

KUALA LUMPUR: Meskipun masih menjalani hukuman penjara, bekas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim masih dicalonkan sebagai Perdana Menteri sekiranya pakatan pembangkang yang baharu berjaya menawan Putrajaya.

Umum mengetahui bahawa Anwar telah dijatuhkan hukuman penjara lima tahun kerana didapati bersalah meliwat bekas pembantu peribadinya, Saiful Bukhari Azlan.

Keputusan tersebut dibuat apabila pakatan pembangkang menubuhkan parti Pakatan Harapan yang disertai oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Parti Amanah Negara (AMANAH) selepas rundingan meja bulat diadakan pada pagi tadi.

Pakatan Harapan pada kali ini menyaksikan PAS tidak menyertainya apabila parti itu tidak mahu menjalinkan sebarang hubungan dengan DAP dan AMANAH.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, mulai pada hari ini, Pakatan Harapan akan berfungsi sepenuhnya sebagai sebuah pakatan politik untuk membela nasib rakyat.

“Langkah pertama Pakatan Harapan adalah mengumumkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sekiranya menang dalam Pilihanraya Umum (PRU) akan datang, kerana kami yakin beliau adalah pemimpin yang paling sesuai untuk menangani kemelut ekonomi dan kebajikan rakyat,” katanya, memetik laporan Free Malaysia Today.

Wan Azizah turut berkata, pakatan yang baharu ditubuhkan itu akan didaftarkan dengan kadar segera di bawah Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS).

Selain itu, parti yang baharu ditubuhkan, AMANAH juga masih menunggu kelulusan pendaftarannya dari RoS.

Sementara itu, Wan Azizah mengakui ada menerima surat daripada PAS yang mengatakan bahawa parti itu tidak bersedia untuk menyertai gabungan pembangkang yang baharu.

“Kita dah bagi surat, mereka memberi maklum balas, terima kasih sebab menjemput, tapi kami (PAS) tidak dapat menyertai rundingan meja bulat buat masa ini,”ujar Wan Azizah.

Terdahulu, PAS berulang kali menolak ‘jemputan’ yang dibuat oleh Ketua Pembangkang untuk menghadiri persidangan meja bulat tersebut.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");