Jenayah

Pecah rumah kedai rakan

KOTA BHARU: Seorang lelaki warga Pakistan yang pecah masuk sebuah rumah kedai milik rakan senegara dan melarikan ratusan jubah bernilai RM21,120 mengaku tidak salah di mahkamah majistret, di sini, semalam.

Tuduhan terhadap Amjad Ali Johar, 35, yang beralamat di Jalan Dusun 4, Depan Wisma, di sini, dibuat di hadapan Majistret, Nik Habri Muhamad.

Tertuduh didakwa bersama seorang yang masih bebas pecah masuk rumah kedai milik Ali Raza di bandar ini dan mengambil 384 jubah bernilai RM21,120 itu pada jam 10.30 pagi, 4 September lalu.

Pada prosiding itu, tertuduh turut mengaku tidak bersalah ditawarkan tuduhan pilihan menyimpan harta curi iaitu jubah-jubah terbabit di sebuah rumah kedai lain di Jalan Pintu Pong, di sini, pada jam 4.45 petang, 10 September lalu.

Susulan penafian itu, pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya negeri, Mohd Syahrul Nizam Mohd Misan mencadangkan jaminan RM10,000 terhadap tertuduh.

Peguam, Nasrul Mohamed kemudian memohon jumlah itu dikurangkan dengan alasan perniagaan yang diusahakan anak guamnya itu kurang rancak berikutan keadaan ekonomi semasa yang kurang memberangsangkan.

“Ini adalah tuduhan kali pertama dan tertuduh mempunyai isteri warganegara Malaysia. Tertuduh juga bersedia untuk mematuhi apa-apa jua syarat ditetapkan mahkamah jika membenarkan jaminan,” katanya.

Selepas pertimbangan maksimum, Nik Habri membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan dua penjamin warganegara Malaysia.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula bagi penyerahan dokumen pada 25 Oktober depan.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");