Jenayah

Pelajar dalang kes curi motosikal

BAGAN SERAI: Peningkatan kes curi motosikal di daerah ini akhirnya terungkai apabila lima kumpulan dicekup sepanjang Ops Lejang bermula 3 September lalu.

Lebih memeranjatkan, majoriti lima anggota kumpulan melibatkan 25 lelaki itu terdiri daripada pelajar berusia lingkungan 14 hingga 17 tahun.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob berkata, susulan peningkatan kes curi motosikal pada tahun ini, satu pasukan petugas khas diwujudkan IPD Kerian.

Menurutnya, dalam operasi yang diketuai Ketua Balai Polis Bagan Serai, Inspektor Ashazarul Khairi Ab Hamid, pihaknya menahan 25 lelaki melibatkan lima kumpulan yang dipercayai aktif dalam kegiatan curi motosikal di sekitar daerah Kerian, Nibong Tebal, Pulau Pinang dan Bandar Baharu, Kedah.

“Kesemua suspek yang ditahan berusia lingkungan 14 tahun hingga 37 tahun di mana lebih mengecewakan majoriti mereka merupakan pelajar sekolah.

“Polis menjalankan ujian air kencing terhadap kesemua suspek dan seramai tujuh lelaki didapati positif dadah syabu.

“Ahli kumpulan curi motosikal yang ditumpaskan merupakan Kumpulan Ali Jepun, Kumpulan Akmal, Kumpulan Mamu, Kumpulan Helmi dan Kumpulan Nibong. Salah seorang daripada mereka merupakan pemilik bengkel motosikal persendirian,” katanya pada sidang media di bilik mesyuarat IPD Kerian, semalam.

Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Daerah Kerian, Deputi Superintendan Mohd Radzuan Bachik dan Ketua Bahagian Jabatan Siasatan Jenayah IPD Kerian, Asisten Superintendan Helmi Ahmad.

Selesai lapan kes

Omar Bakhtiar berkata, melalui penahanan kesemua suspek terlibat, polis berjaya menyelesaikan lapan kes kecurian motosikal yang dilaporkan di daerah Kerian termasuk satu kes di Nibong Tebal.

Menurutnya, kebanyakan motosikal yang dicuri dan dileraikan untuk pengambilan alat gantian motosikal melibatkan jenis Honda EX5, Sym dan Modenas, malah kesemua rangka motosikal dileraikan ditemui semula di Parit Sungai Baru dan Parit Sungai Protan, Selinsing serta Sungai Kerian.

“Hasil siasatan polis mendapati modus operandi setiap kumpulan terbabit adalah tidak berhubung kait, kecuali kesemua mereka menyasarkan kepada motosikal-motosikal yang tidak dipasang kunci tambahan sewaktu diletakkan pemiliknya di kawasan masjid dan surau, pasar raya dan lokasi tumpuan lain.

“Lebih menarik, polis mengenal pasti daripada lapan kes kecurian motosikal diselesaikan, hanya satu kes sahaja yang mendapat pengesahan dipasang kunci tambahan oleh pemilik, manakala selebihnya cuai atau mengambil mudah keselamatan hak milik mereka sendiri,” katanya.

Didalangi pelajar sendiri

Di sebalik kejayaan menyelesaikan sebahagian kes curi motosikal, pihaknya kesal dengan peningkatan penglibatan remaja dan pelajar sekolah dalam kejadian jenayah itu.

Lebih mengejutkan, Omar Bakhtiar turut mendedahkan ada dalam kumpulan jenayah itu didalangi sendiri oleh pelajar sekolah terbabit, yang sekadar mencuri semata-mata untuk kegunaan sendiri atau menjual alat ganti kenderaan.

Katanya, kesemua OKT ditahan kini sudah dituduh di Mahkamah Majistret Parit Buntar kerana terlibat dalam melupuskan dan memiliki barang curi.

“Kes disiasat di bawah tiga kesalahan iaitu kesalahan di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan (KK), 411 KK dan 414 KK yang membawa hukuman penjara untuk tempoh waktu ditetapkan dan denda jika disabit kesalahan.

“Polis turut giat memburu saki baki ahli kumpulan ini dan sudah mengenal pasti beberapa lagi individu terlibat untuk dibawa ke muka pengadilan,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");