Berita Hari Ini

Pembenihan Awan Hujung September Ini Di Johor

PONTIAN – Operasi pembenihan awan di ruang udara Empangan Sungai Layang dan Sungai Lebam bakal dijalankan seawal hujung bulan ini sehingga awal Oktober dalam usaha menangani masalah bekalan air di Johor.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah negeri Datuk Hasni Mohammad berkata Jabatan Meteorologi negeri telah memaklumkan bahawa tempoh itu sesuai untuk pembenihan awan.

“Seperti yang kita maklum, jadual bekalan air berjadual telah disambung sebulan lagi memandangkan tahap air di empangan masih belum mencapai tahap yang memuaskan.

“Jadi kita harap dengan pembenihan awan dapat membantu memulihkan keadaan,” kata beliau kepada pemberita selepas merasmikan Hari Potensi Tabika Kemas peringkat negeri di sini petang tadi.

Hasni berkata selain itu, Syarikat Air Johor Holdings Sdn Bhd (SAJ Holdings) akan memulakan kerja pemindahan air dari Sungai Tiram ke Sungai Johor pada 1 Oktober ini bagi menambah bekalan air mentah di Sungai Johor.

“Ia melibatkan pemindahan air sebanyak 35 juta liter sehari melalui paip sepanjang 500 meter selama dua minggu,” kata beliau.

Hasni berkata dengan dua kaedah ini, diharapkan masalah bekalan air dapat diatasi pada kadar segera.

Dua hari lepas, SAJ Holdings mengumumkan bekalan air berjadual, yang dilaksana di sebahagian daerah ini dan Pengerang dan sepatutnya berakhir 15 Sept ini, dilanjutkan selama sebulan lagi.

Menurut SAJ Holdings, paras air mentah di kedua-dua empangan terbabit tidak menunjukkan peningkatan, sebaliknya menunjukkan kemerosotan pada purata 0.03 meter setiap hari walaupun kadangkala hujan turun di kawasan berhampiran.

ada 10 September, paras semasa di empangan Sungai Layang adalah 18.83 meter berbanding paras kritikal 23.50 meter, manakala empangan Sungai Lebam pada paras 9.36 meter berbanding paras kritikalnya 12.27 meter.

Penduduk yang terlibat dalam jadual air berjadual termasuklah 116,000 pemegang akaun di sebahagian besar daerah Johor Baharu, Pasir Gudang, Masai serta 13,299 pemegang akaun di Mukim Tanjung Surat, Mukim Pantai Timur dan Mukim Pengerang sebahagian kawasan Kota Tinggi.

-Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");