Perak Hari Ini

Penganjur Batu Kurau International Mountain Bike Perjelas Isu Sebenar

IPOH: Penganjur Batu Kurau International Mountain Bike tampil menafikan laporan yang dibuat oleh satu media arus perdana baru-baru ini mengenai acara berkenaan adalah tidak tepat.

Penganjur program tersebut yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kurau, Datuk Dr Mohamad Amin Zakaria berkata, kesilapan yang berlaku pada hari kedua perlumbaan berkenaan hanyalah satu isu kecil yang tidak perlu dibesarkan.

12 (2)

“Pada penganjuran kali kedua ini, pendekatannya agak berbeza di mana kita telah melantik sebuah syarikat pengurus acara, Alam Event Management untuk menjadi pengurus majlis.

“Sebagaimana biasa seperti yang dipersetujui, pengurus majlis yang akan menguruskan acara dan saya selaku ADUN hanya akan terlibat dalam koordinasi program. Tetapi ada sedikit masalah teknikal dimana para peserta tidak berpuas hati tentang jersi yang dibekalkan.

“Jersi yang disediakan itu tidak menepati spesifikasi seorang pelumba basikal dan pihak Alam Event akui kesilapan serta berjanji untuk mengganti semula jersi tersebut seperti spesifikasi yang diperlukan,”katanya dalam satu sidang media yang diadakan hari ini.

Jelasnya lagi, perkara tersebut telah menimbulkan rasa tidak puas hati oleh beberapa peserta semasa pelepasan hari kedua.

14 (1)

“Apabila ada bibit-bibit tidak puas hati itu, pada hari kedua pelepasan ada peserta-peserta yang menarik diri kononnya kerana kurang puas hati tentang perjalanan pelepasan itu.

“Itu masalah teknikal tetapi selepas berlaku keadaan tersebut, maka saya dan kakitangan Pusat Khidmat Batu Kurau dan sukarelawan kita telah mengambil alih membantu dan perkara itu dapat diatasi dengan baik.

“Ramai yang meneruskan perlumbaan dan menghabiskan kayuhan sejauh 56 kilometer dan diikuti dengan acara penyampaian hadiah seperti yang kita rancang,”jelasnya.

Katanya lagi, media tersebut seharusnya mencari beliau untuk mendapatkan pandangan beliau selaku penganjur.

“Komen dari unit sukan media berkenaan kurang tepat kerana dia lihat dari satu pihak dan tidak dapat pandangan dari pihak kami sendiri.

“Saya ada disana dan saya nampak media tersebut membuat rakaman tetapi saya tidak ditemubual untuk memberikan pandangan. Agak berat sebelah.

Mereka sepatutnya mendengar pandangan dari kedua-dua pihak,”katanya.

Tambahnya lagi, jumlah peserta kayuhan yang menarik diri daripada menyertai kayuhan pada hari kedua tersebut sekitar 10 hingga 15 orang sahaja.

15 (1)

Sementara itu, pengarah program bagi pihak Alam Event Management, Yaakob Haruyn berkata, pihaknya telah mengambil tindakan sepatutnya bagi membetulkan kesilapan tersebut.

“Alam Event Management sedar akan perkara ini dan kami sudah mengambil tindakan pembetulan dengan membuat tempahan jersi seperti mana mengikut spesifikasi, tetapi memandangkan pembuatan jersi tersebut mengambil masa yang lama.

“Kami telahpun berhubung dengan semua peserta dan memaklumkan kepada mereka sebaik sahaja jersi itu siap dan tiba nanti, kami akan membuat program penyampaian jersi tersebut kepada peserta,”ujarnya dalam sidang media yang sama.

Walaubagaimanapun, Muhammad Amin turut berkata, meskipun terdapat sedikit masalah teknikal, kebanyakan peserta memberi komen positif tentang perlumbaan tersebut.

“Saya mendapat pujian dan maklumbalas positif dari pasukan-pasukan luar yang minta supaya acara ini dianjurkan lagi.

“Ramai pelumba yang menyukai trek-trek yang kita sediakan. Saya berjanji kita akan buat acara ini sebagai acara tahunan,”katanya.

Batu Kurau International Mountain Bike telah diadakan pada 19 dan 20 September lalu dan disertai oleh 1,200 pelumba dari seluruh Negara.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");