Johor Bahru: Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menganggap Bojan Hodak sebagai individu paling layak memegang jawatan ketua jurulatih Harimau Malaya bagi menggantikan Dollah Salleh.
Pengamatan Tunku Ismail itu dibuat berdasarkan pengalaman Hodak yang sudah mengenali lebih mendalam mengenai bola sepak Malaysia selain memiliki rekod cemerlang ketika membimbing Kelantan dan juga Johor Darul Ta’zim (Johor DT).
“Bojan jurulatih yang bagus dan layak dilantik jurulatih kebangsaan. Semua patut sedar yang saya tidak menyingkirkannya sebaliknya saya mahu satu pembaharuan berbeza dan atas sebab itu khidmat Mario Gomez digunakan.
“Bojan menjalankan tugas yang baik untuk Johor DT dan saya tidak nafikan hakikat itu. Bagaimanapun saya tidak boleh memastikan dia dilantik jurulatih Harimau Malaya, terserah kepada FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia).
“Saya hanya bagi pandangan kerana FAM mempunyai Jawatankuasa Pemilihan Jurulatih dan mereka yang tentukan siapa jurulatih paling layak. Tapi semua orang ada pandangan masing-masing termasuk saya,” katanya.
Tunku Ismail berkata, untuk memilih seorang jurulatih, latar belakang juga memainkan peranan dan Hodak dilihat antara calon layak lantaran pencapaiannya membimbing Kelantan muncul juara treble pada musim 2012.
Katanya, tidak salah untuk memberi peluang kepada Hodak yang sudah mengenali asam garam bola sepak negara dan jika tidak berhasil mungkin boleh mencari jurulatih lain yang lebih layak.
“Saya juga ingin menegaskan tawaran awal untuk menyediakan dana bagi FAM mendapatkan jurulatih baru Harimau Malaya sudah tertutup, sebaliknya wang itu akan disimpan untuk kegunaan pembangunan bola sepak Johor,” kata Tunku Ismail.
– harian metro