Jenayah

Ramai usia 15-30 tahun tiada lesen memandu

KOTA BHARU – Tidak mempunyai lesen memandu yang sah! Itulah kesalahan yang sering dilakukan oleh pesalah trafik walaupun mengetahui ia merupakan satu kesalahan yang boleh dikenakan kompaun.

Ramai di antara golongan ini masih tidak endah dengan peraturan jalan raya dan sanggup mengabaikan keselamatan diri dan orang lain hanya untuk kepentingan diri sendiri.

Sikap seumpama ini sering melibatkan golongan usia seawal 15 sehingga 30 tahun tanpa memikirkan sebab dan akibat yang bakal ditanggung sekiranya terlibat dengan kemalangan yang boleh menyusahkan bukan sahaja si pelaku malah pengguna jalan raya lain turut menanggung akibat.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Rohaimi Md Isa berkata, hasil ops samseng jalanan/ lumba haram yang dijalankan dari masa ke semasa, kelmarin pihaknya turut mengenakan kompaun ke atas tiga remaja berusia 15 tahun, 10 orang antara 16 hingga 20 tahun, 14 berusia antara umur 21 hingga 25 tahun, seorang berusia 26 hingga 30 tahun dan lapan pesalah trafik berusia 31 tahun.

“Kita tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pesalah trafik yang melanggar peraturan jalan raya dan akan mengenakan kompaun bagi memberi pengajaran kepada mereka.

“Ini perlu memandangkan kita berusaha sedaya upaya bagi mengekang jenayah samseng jalanan dan memastikan orang ramai merasa selamat apabila berada di jalan raya di samping dapat mengurangkan risiko kemalangan,” katanya.

Rohaimi berkata, dalam ops yang dijalankan di sekitar lampu isyarat Wakaf Siku bermula jam 9.15 malam sehingga 11 malam itu, seramai 13 anggota trafik menyertai ops berkenaan yang terdiri daripada anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan (IPK) bersama seorang pegawai dan dua sarjan.

“Kita turut keluarkan 36 kertas saman dengan 60 kesalahan pelbagai termasuk tiada lesen memandu dan lesen kenderaan/motor tamat tempoh.

“Selain itu, kesalahan-kesalahan seperti tidak pakai topi keledar, tiada perlindungan insurans, tiada brek, tidak tampal P, tiada cermin sisi dan tiada penutup rantai turut dikesan dalam ops berkenaan.

“Di samping itu dalam ops ini kita turut menahan 29 motosikal yang diubah suai dan mempunyai pelbagai kesalahan trafik lain untuk tindakan lanjut,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");