Berita Hari Ini

RMK-10: Masalah penduduk pendalaman Sabah diatasi

KOTA KINABALU – Kerajaan berjanji untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi penduduk pendalaman Sabah yang hidup tanpa bekalan elektrik di bawah Rancangan Malaysia ke-10.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, sebanyak 60 peratus kawasan di Sabah adalah berbukit dan bergunung-ganang dan banyak penduduknya tinggal di kawasan luar bandar, infrastruktur adalah kuncinya.

“…Saya gembira dapat menyatakan bahawa 98.2 peratus kawasan luar bandar kini telah mempunyai elektrik, meningkat sebanyak 92.5 peratus dari tahun 2010,” katanya dalam ucaptama pada Seminar Integrasi Nasional anjuran bersama Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional dan Institut Strategi dan Kepimpinan Asia (Asli) di sini, hari ini.

Turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Joseph Kurup dan kalangan menteri persekutuan dan negeri.

Mengenai janji untuk menambah baik kemudahan pengangkutan di Sabah, Najib berkata, lebih 4,000 kilometer jalan raya telah sama ada dinaiktaraf atau dibina di negeri ini.

Laluan rel antara Kota Kinabalu dan Tenom juga telah dinaiktarafkan.

Beliau berkata Lebuhraya Pan Borneo membabitkan jarak hampir 1,700 kilometer yang sedang dalam pembinaan yang akan menghubungkan antara Sabah dan Sarawak dan dengan dua negara jiran iaitu Brunei Darussalam dan Indonesia, membuka pelbagai peluang bagi komunikasi dan ekonomi.

“Namun kami sedar bahawa bagi masih banyak orang, untuk pergi ke klinik atau sekolah membabitkan perjalanan jauh dan sukar. Kami perlu berikan keutamaan saksama untuk menghubungkan kampung-kampung antara satu sama lain, serta ke bandar-bandar terdekat, supaya manfaat pembangunan dapat diberikan kepada semua.

“Bagi memastikan ini dicapai, setakat Jun 2014, kerajaan pimpinan saya telah memperuntukkan lebih RM1.7 bilion kepada Sabah, untuk digunakan bagi projek pengangkutan dan logistik,” katanya.

Mengenai sekolah, Najib berkata kerajaan mengakui pentingnya pendidikan dan sedang mewujudkan masyarakat inklusif dan memastikan peluang disediakan kepada semua.

Di Sabah, katanya, pada ketika ini, sektor pendidikan rendah masih belum dimanfaatkan sepenuhnya dan sebab itu pembinaan sedang dilaksanakan bagi 288 buah prasekolah baharu dan 3,500 guru prasekolah yang baharu dan penyedia penjagaan kanak-kanak akan dilatih menjelang 2017.

Najib berkata untuk memantapkan sektor pendidikan tinggi di Sabah, lebih banyak institusi akan mewujudkan kampus cawangan di Hab Pendidikan Sandakan bagi menawarkan peluang pendidikan tinggi kepada lebih banyak lepasan sekolah.

– Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");