Madrid: Cristiano Ronaldo memintas Lionel Messi selaku penjaring terbanyak dalam sejarah Liga Juara-Juara apabila melakar hatrik ketika Real Madrid menyingkap tirai pertandingan Eropah dengan kemenangan 4-0 ke atas Shakhtar Donetsk yang bermain dengan 10 orang, awal pagi semalam.
Ronaldo menyempurnakan dua penalti sebelum menanduk masuk gol bagi melengkapkan hatrik sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan jaringannya kepada 80, lebih tiga gol berbanding pesaing dari Barcelona itu.
“Saya gembira. Terima kasih kepada rakan sepasukan atas keyakinan yang mereka berikan kepada saya,” kata Ronaldo.
“Kami sedar keputusan pada pramusim tidak begitu penting dan kami perlu bermula dengan baik di La Liga serta Liga Juara-Juara.
“Bagaimanapun, kami sedikit hambar pada permulaan La Liga apabila sekadar seri tapi sejak itu kami semakin meningkat, lebih konsisten dan kami sudah mula mencatat perkara positif.”
Karim Benzema membuka jaringan hasil kesilapan penjaga gol Andriy Pyatov pada babak pertama sebelum Taras Stepanenko dilayangkan kad merah gara-gara kad kuning kedua selepas 50 minit.
Begitupun, kemenangan itu dicacatkan dengan kecederaan menimpa Gareth Bale sekali gus menyaksikan pemain kebangsaan Wales itu terpaksa meninggalkan padang akibat masalah betis.
“Otot betis Bale tegang,” kata pengurus Madrid, Rafael Benitez.
“Kami perlu menunggu sehari dua ini untuk melihat tahap kecederaannya itu. Dia berdepan masalah serupa tahun lalu.”
Sementara itu, pengurus Shakhtar Mircea Lucescu kecewa dengan beberapa keputusan pengadil Ivan Bebek.
“Sepanjang 30 minit pertama kami menguasai permainan dan kami mencipta beberapa peluang. Kesilapan (gol pertama) membawa padah buat kami,” katanya.
– http://www.hmetro.com.my/