Perak Hari Ini

Salah Guna Kuasa: Pesara Tentera Dihadap Ke Mahkamah

IPOH: Seorang pesara Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berpangkat Leftenan Komander telah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini atas 14 pertuduhan menyalahguna kuasa membabitkan kontrak pembekalan berjumlah lebih RM 800,000.

Wan Fathurahman Wan Musa, 48, didakwa melakukan kesalahan tersebut dibawah Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum dibawah Seksyen 24 Akta yang sama.

Beliau didakwa melakukan kesalahan tersebut pada tahun 2011 hingga 2012 di Bilik Mesyuarat Depot Bantuan TLDM, Pangkalan TLDM di Lumut.

Tertuduh didakwa telah menggunakan kedudukannya sebagai pegawai badan awam iaitu Pegawai Memerintah Depot Bantuan TLDM, Lumut dengan membuat keputusan memilih syarikat milik adiknya, Delima Evolusi Sdn Bhd dan WTY Defcorp Sdn Bhd bagi menjalankan kerja pembekalan.

Fathurahman pada ketika itu memegang jawatan sebagai Pengerusi Lembaga Penganugerahan Sebutharga.

Tertuduh mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan yang telah dibacakan terhadapnya dihadapan Hakim Rihaida Rafie.

Pendakwaan SPRM yang diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya, Rozanna Abd Hadi telah menawarkan wang jaminan sebanyak RM 20,000 bagi setiap satu kesalahan yang jumlah keseluruhannya RM 280,000 dengan seorang penjamin.

Namun, peguam yang mewakili tertuduh, Munawar Kabir Mohd Zainal Abidin telah memohon agar wang jaminan dikurangkan menjadi RM 5,000 bagi setiap kesalahan dengan alasan tertuduh akan berangkat ke Mekah pada 14 September ini bagi mengerjakan ibadah Haji.

Hakim kemudiannya telah menetapkan wang jaminan kepada RM 10,000 bagi setiap kesalahan yang menjadikan jumlah keseluruhannya sebanyak RM 140,000 dengan seorang penjamin.

Tertuduh dikehendaki menyerahkan pasport sekembalinya beliau dari mengerjakan ibadah haji pada 27 Oktober 2015 dan 3 November 2015 pula sebagai tarikh sebutan semula kes serta penyerahan dokumen.

Sekiranya didapati bersalah, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh tidak lebih daripada 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan tersebut jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang atau RM 10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");