Jenayah

Samun Mentari Court: Polis cari tiga suspek

PETALING JAYA: Polis telah mengenal pasti identiti tiga suspek yang melarikan diri selepas tertembak rakan jenayah mereka dalam kejadian samun seorang lelaki di Mentari Court, malam tadi.

Ketua Polis Selangor, Datuk Abdul Samah Mat berkata, mereka kini diburu dan polis akan menyiarkan wajah ketiga-tiga suspek itu.

“Dalam kejadian itu, seorang suspek telah tertembak rakannya ketika cuba menyamun mangsa mereka… suspek yang cedera berjaya ditahan dan berada dalam keadaan stabil.

“Kita telah rampas pistol tersebut… kita percaya mereka merupakan warga tempatan tetapi bukan berasal dari Selangor,” katanya kepada pemberita selepas majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Sungai Buloh di sini, hari ini.

Abdul Samah berkata, kumpulan itu merupakan kumpulan baharu bagi kawasan Petaling Jaya dan polis akan menjalankan siasatan bagi melihat sama ada mereka pernah terlibat dengan jenayah lain atau sebaliknya.

Dalam kejadian kira-kira 7.48 malam itu, mangsa didatangi empat suspek menaiki kenderaan jenis Perodua Viva di tempat letak kereta pangsapuri berkenaan sebelum seorang daripadanya mengacukan pistol ke perut mangsa untuk menggertaknya menyerahkan beg sandang yang dibawanya.

Bagaimanapun, mangsa bertindak melawan dan berlaku tarik menarik antaranya dan suspek mengakibatkan satu das tembakan dilepaskan secara tiba-tiba yang terkena seorang lagi suspek yang keluar daripada kereta untuk membantunya.

Dalam perkembangan lain, Abdul Samah berkata indeks jenayah di bawah IPD Sungai Buloh menunjukkan penurunan iaitu 1,018 kes bagi tempoh Januari hingga Ogos berbanding 1,133 kes dalam tempoh sama tahun lepas.

“Kadar penurunan sebanyak 115 kes atau 10.15 peratus. Kes pecah rumah turun kepada 235 kes berbanding 271 iaitu penurunan sebanyak 13.28 peratus manakala jenayah jalanan mencatatkan 167 berbanding 197 kes iaitu penurunan 15.23 peratus.

“Saya letakkan harapan yang tinggi kepada Ketua Polis Daerah Sungai Buloh yang baharu untuk mengawal kadar jenayah di kawasan ini,” katanya.

Pada majlis itu, Superintendan Mohd Rozi Jidin menggantikan Superintendan Junaidi Bujang yang bertukar ke Sarawak untuk memegang jawatan sebagai Ketua Polis Daerah Miri.

Mohd Rozi sebelum ini bertugas di Jabatan Perdana Menteri sebagai Penolong Pengarah Kanan Unit Perlindungan Saksi. – Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");