Kuala Lumpur: Cadangan Persatuan Pemain Profesional Malaysia (PFAM) yang mahukan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mewajibkan setiap pasukan menyerahkan jumlah gaji setahun bagi pemain dan pegawai dilihat antara jalan keluar terbaik untuk mengatasi masalah tunggakan yang membelenggu kancah liga tempatan.
Mengambil contoh pendekatan sama yang digunakan Persekutuan Bolasepak Australia (FFA) dalam saingan Liga Australia (Liga-A), badan induk bola sepak tempatan itu digesa mencuba mekanisma baru demi menjaga kebajikan sekali gus meningkatkan tahap permainan setiap pemain.
Menurut tonggak pertahanan tengah kebangsaan dan Kelantan, Amirizdwan Taj Tajuddin, cadangan PFAM itu harus diambil serius dan dikaji sedalam-dalamnya kerana kemelut gaji bukan sesuatu yang baru sebaliknya isu lapuk yang kerap berlaku saban tahun tanpa ada kaedah baru untuk mengatasi masalah itu daripada terus berlanjutan.
“Pada pendapat saya, cadangan itu cukup baik dan perlu dipertimbangkan sewajarnya pihak berkenaan (FAM). Lagipun dengan cara itu pemain tidak akan bimbang atau memikirkan masalah gaji lewat atau tertunggak.
“Saya sendiri mengalaminya ketika bersama pasukan ATM (Angkatan Tentera Malaysia) dengan gaji kami kadang kala lewat sehingga mendatangkan kesukaran terutama kepada mereka yang sudah berkeluarga.
“Secara tidak langsung, motivasi dan tumpuan pemain juga terganggu. Tapi dengan cadangan PFAM itu, saya lihat masalah gaji lewat boleh diatasi andai FAM serius melaksanakannya,” katanya ketika dihubungi Arena Metro, semalam.
Semalam, Presiden PFAM Hairuddin Omar tampil mencadangkan agar FAM mengambil alih proses pembayaran gaji pemain.
Katanya, setiap pasukan yang sudah melengkapkan bilangan pemain ditandatangani sudah pasti mengetahui jumlah sebenar kos diperlukan untuk pembayaran gaji pemain selama setahun sebelum diserahkan kepada FAM bagi dikreditkan ke akaun pemain setiap bulan.
Sebelum ini, ATM dan Kelantan antara dua pasukan yang dilaporkan menghadapi krisis tunggakan gaji selama beberapa bulan. Lebih parah lagi, apabila skuad The Red Warriors difahamkan sedang mendapatkan pinjaman bank selain mengharapkan bantuan kerajaan negeri itu bagi mengatasi isu berkenaan.
Buat seorang lagi bekas pemain kebangsaan K Rue-
ben, langkah dicadangkan PFAM itu amat bertepatan terutama apabila Liga-M bakal mengalami transformasi besar-besaran menerusi penswastaan liga yang dijadualkan bermula musim hadapan.
“Dengan kapasiti Hairuddin selaku Presiden PFAM, saya yakin cadangan itu bagus selepas mengambil kira pandangan liga luar negara yang terbukti berkesan dalam mengatasi isu berkenaan.
“Pemain kerjanya cuma bermain, tapi apabila gaji lambat masuk sedikit sebanyak mengganggu fokus dan tumpuan kami. Jadi dengan cadangan baru ini, saya menyokong sepenuhnya dan mahu ia dilaksanakan segera,” katanya.
– http://www.hmetro.com.my