Sukan Hari Ini

Sukar nak swasta

Kuala Lumpur: Usaha Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk menswastakan Liga Malaysia (Liga-M) musim depan pasti menemui kesukaran jika imej bola sepak negara terus dipalit insiden atau kontroversi memalukan.

Kekecohan yang dicetuskan Ultras Malaya di Stadium Shah Alam, Selasa lalu membuatkan bola sepak negara dikenali di seluruh dunia dengan sebab yang salah.

Bagi Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) yang diberi tanggungjawab mengendalikan penswastaan Liga-M tahun depan, mereka sedar bukan saja perlu memastikan kelancaran liga malah membendung gejala samseng bola sepak.

Perkara itu diakui sendiri Ketua Pegawai Operasi FMLLP Kevin Ramalingam yang menyatakan mereka perlu sentiasa peka dengan situasi semasa penyokong dengan memantau perkembangan mereka di media sosial.

“Biasanya mereka berkempen di sosial media, jadi sedikit sebanyak kita boleh membuat jangkaan. Mungkin selepas apa yang berlaku ini kita perlu mengambil serius apa saja amaran dan terus menangani isu ini daripada hanya menunggu sama ada akan berlakunya sesuatu masalah,” katanya kepada pemberita dalam persidangan bola sepak di Singapura.

Imej bola sepak tanah air tercalar lagi apabila segelintir Ultras Malaya bertindak membakar suar, bom asap dan mercun ke dalam padang ketika perlawanan kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 antara Malaysia dengan Arab Saudi di Stadium Shah Alam.

Ini bukan kali pertama insiden sebegini berlaku apabila samseng bola sepak turut mencetuskan ‘huru-hara’ dalam beberapa perlawanan Liga-M musim ini.

Menerusi penswastaan liga ini, satu perjanjian dengan syarikat media sukan terkenal MP & Silva bagi meraih pulangan RM1.26 bilion ringgit dalam tempoh 15 tahun berjaya ditandatangani namun jika imej bola sepak negara terus buruk, pasti sukar untuk mendapat keuntungan.

Kevin berkata, selain masalah samseng bola sepak, mereka juga perlu bersedia untuk memerangi gejala mengatur perlawanan.

“Kami perlu mengambil serius usaha untuk membendung gejala ini daripada terus mengancam perlawanan bola sepak. Saya fikir masalah ini sudah kurang berlaku tapi kemungkinan untuk terus ada, masih kuat. Saya harap dalam tempoh dua atau tiga tahun akan datang, kita boleh membuang persepsi buruk ini,” katanya.

– http://www.hmetro.com.my

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");