Sukan Hari Ini

Syarat BAM buat Zulkiffli

Kuala Lumpur: Jika Zulfadli Zulkiffli membuat keputusan menyertai Persatuan Badminton Malaysia (BAM) esok, bapanya, Zulkiffli Sidek dilihat berpeluang untuk turut sama berkhidmat di bawah badan induk berkenaan, tetapi harus terlebih dulu melalui proses tertentu.

Menurut Setiausaha Kehormat BAM Ng Chin Chai, setiap individu yang mahu berkhidmat sebagai jurulatih dengan badan induk itu termasuk Zukiffli perlu membuat permohonan sama seperti orang lain.

”Jika beliau berminat, perlu membuat permohonan tapi selepas itu Pengarah Teknikal BAM Morten Frost Hansen akan membuat keputusan (sama ada ingin menggunakan khidmatnya atau tidak),” katanya ketika ditemui di Stadium Juara, Bukit Kiara semalam.

Jelasnya, semua individu harus memenuhi syarat tertentu sebagai jurulatih dan berdasarkan merit ditetapkan.

“Bagaimanapun, jika beliau menyertai BAM tidak semestinya akan melatih anaknya, bergantung kepada kemampuan dan kebolehan yang ada padanya. Sekarang kita memang membuka pintu kepada Zulfadli.

“Dia akan menerima skim bayaran baru yang kita akan laksanakan. Zulfadli pemain berbakat besar, kita sedar perkara itu dan gembira untuk membantunya menjadi pemain ternama,” kata Chin Chai.

Ujarnya, Zulfadli akan menerima tawaran elaun, latihan dan menyertai 12 hingga 14 kejohanan serta dilayan sama rata seperti pemain lain.

“Memang kami mahu Zulfadli menyertai BAM dan beberapa kali bertanyakan perkara ini. Kami sudah mempelawa dia dari dulu lagi. sekarang terpulang kepadanya. Bola sudah berada di kakinya.

“Dia mempunyai bakat tapi perlu seimbang dengan kerja keras, jika digabungkan kedua-dua elemen berkenaan barulah dia boleh meningkat naik. Sekarang dia berada di sana (perseorangan kedua terbaik negara) adalah disebabkan bakatnya,” kata Chin Chai.

Tambahnya, Zulfadli harus berusaha keras sedikit lagi, jika tidak hanya akan kekal menjadi seorang pemain berbakat tanpa sebarang pencapaian.

Kelmarin, Zulfadli bersama bapanya, bertemu dengan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Datuk Ahmad Shapawi Ismail untuk berbincang dan menerangkan mengenai kelebihan jika dia menyertai BAM.

Bagaimanapun, pemain berkenaan meminta tempoh sehingga esok untuk memberi jawapan dan berbincang semula dengan keluarganya sebelum membuat keputusan sama ada akan bernaung di bawah badan induk berkenaan atau kekal menjadi pemain bebas seperti sekarang.

– http://www.hmetro.com.my/

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");