Isu Panas

‘Tak akan kosongkan kerusi Dun’

ALOR SETAR – Adun Pengkalan Kundor, Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi bertegas tidak akan mengosongkan kerusi yang dimenanginya atas tiket Pas pada PRU13 lalu dan akan meneruskan khidmat sebagai wakil rakyat Parti Pekerja Malaysia (PPM).

“Saya sudah menganggotai parti baharu ini, secara automatik keahlian saya sebagai ahli Pas gugur.

“Sekarang saya adalah Adun PPM, bukan bebas atau Pas lagi. Saya juga dilantik sebagai ahli jawatankuasa Pusat PPM,” katanya pada sidang media, semalam.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Penaja PPM Kedah, Datuk Dr Ismail Salleh.

Menurutnya, kesemua Adun atau ahli parlimen yang menyertai PPM tidak akan mengosongkan kerusi atas kepentingan rakyat.

“Jika kosongkan kerusi, perlu diadakan pilihan raya dan melibatkan kos besar. Kita juga perlu melihat kepada kepentingan majoriti yang menyokong kita sebagai wakil rakyat sebab bukan sahaja ahli Pas yang mengundi. Ketika itu, kami bertanding atas prinsip PR,” katanya.

Phahrolrazi berkata, beliau akan meneruskan mandat yang diamanahkan rakyat itu hingga tamat penggal sebelum menyerahkan kembali kepada rakyat pada pilihan raya akan datang.

“Memang ada desakan suruh kosongkan kerusi. Apabila sertai parti ini, kami jadi entiti politik berasingan daripada Pas.

“Pas dan kami kini berpisah, kami juga tidak akan gunakan premis yang ada kaitan dengan parti itu lagi,” katanya.

Bagaimanapun katanya, pusat khidmat Dun Pengkalan Kundor sedia ada diteruskan kerana ia bukan dibiayai parti, sebaliknya dibiayai sendiri.

“Berdasarkan maklum balas pengundi di kawasan, sokongan pada saya kekal dan mereka juga akan ikut jejak saya sertai PPM,” katanya.

Katanya, Pas Kedah sudah dimaklumkan tentang penghijrahannya itu kelmarin apabila beliau dikunjungi wakil daripada parti itu.

“Saya juga akan maklumkan pada Speaker Dun Kedah tentang perubahan parti yang saya wakili ini sebelum bermulanya persidangan Dun Kedah, November depan bagi memudahkan mereka ubah kedudukan saya dalam dewan kelak,” katanya.

Phahrolrazi turut menegaskan beliau masih Presiden Pasma di mana NGO itu menyokong penubuhan PR 2.0 yang akan diwujudkan kelak.

“Apabila PR terbubar, Pasma memutuskan perlu ada sebuah pakatan baharu dianggotai parti pembangkang dan sebuah parti Islam dalam pakatan itu. PPM akan mengambil alih tempat Pas dalam pakatan itu,” katanya.

Setakat ini hanya seorang Adun Pas mengumumkan secara terbuka menyertai PPM, namun Phahrolrazi tidak menolak kemungkinan akan ada lagi beberapa Adun Pas menyertai mereka.

“Kita akan hubungi adun lain sama ada berminat sertai PPM atau tidak. Ini kerana parti baharu ini juga memperjuangkan Islam, sama seperti Pas.

“Yang membezakannya, PPM berada dalam pakatan, manakala Pas bersendirian. Jika mereka mahu bersama parti pembangkang lain, mereka hendaklah beralih kepada PPM,” katanya.

Katanya, pihaknya menjangkakan ramai lagi akan menyatakan sokongan terutama ahli Pas yang berpegang pada prinsip bahawa parti itu perlu berada dalam pakatan untuk menang dalam PRU akan datang.

“Kita masih di peringkat rundingan. Terpulang kepada Adun itu mahu sertai atau tidak, mereka rakan kita juga, namun saya tak dapat buat telahan sama ada mereka berminat atau tidak kerana belum mendapat respons,” katanya.

Phahrolrazi berkata, pihaknya turut mengalu-alukan penyertaan Adun Umno mahupun ahli parti itu yang sudah tawar hati dengan krisis politik parti masing-masing.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");