Sukan Hari Ini

Tenang tanpa tekanan

Johor Bahru: Di atas kertas Johor Darul Ta’zim II (Johor DT II) bukan pencabar utama yang mampu memberi saingan dalam Kumpulan A Piala Malaysia apabila mereka turun memulakan kempen itu, Sabtu ini.

Malah status pasukan bukan pilihan pasti meletakkan skuad bimbingan Nenad Bacina tidak berdepan tekanan dan aksi pertama menentang Terengganu di Stadium Sultan Mizan, Kuala Terengganu akan menjanjikan taktikal ampuh bagi menafikan penguasaan skuad kendalian Ahmad Yusof.

Bagi pengendali dari Croatia itu, kehadiran dua pasukan berstatus juara LionsXII (Piala FA) dan Kedah (Liga Perdana) dalam kumpulan itu mampu memberi kesan positif terutama bagi perkembangan pemain muda skuadnya.

“Beraksi pada kempen Piala Malaysia amat berguna kepada pemain muda menimba pengalaman apabila menentang Terengganu yang menamatkan saingan di tangga keempat Liga Super, LionsXII dan Kedah yang akan beraksi di Liga Super musim depan.

“Tiada tekanan dalam kalangan pemain sebaliknya mungkin pasukan lawan lebih gelisah kerana tidak tahu kekuatan sebenar Johor DT II dan saya sendiri tidak mahu pemain tertekan malah mahu mereka lebih tenang apabila memulakan aksi pertama nanti.

“Tidak timbul kegusaran untuk melakukan persiapan sebelum saingan bermula malah tiada seorang pun pemain Johor DT II mengalami kecederaan kecuali Baihakki Khaizan dan Shahril Ishak yang baru pulang selepas menyertai skuad Singapura pada kempen kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 tampak kepenatan.

“Baihakki dan Shahril menjadi watak penting dalam skuad Johor DT II kerana pengalaman mereka beraksi bersama Singapura mampu menjadi inspirasi keyakinan pemain muda,” katanya.

Bacina mengintai keputusan positif bertemu Terengganu walaupun menyedari agak sukar untuk memburu kemenangan sebaliknya mengintai sekurang-kurangnya membawa pulang satu mata.

Beliau berkata, pengalaman Nicolas Delmonte, Kamarul Afiq Kamaruddin dan Zaquan Adha Radzak akan membantu pemain muda bagi mengimbangi kekuatan Terengganu.

“Kami akan mengharungi satu perlawanan ke satu perlawanan dan saya tidak mahu menekan pemain muda sebaliknya mereka dinasihatkan supaya beraksi dengan tenang.

“Apa pun kami tidak akan menyerah kalah sebaliknya akan memberi tentangan walaupun kami sedar Terengganu, LionsXII dan Kedah pasukan paling konsisten tapi dalam bola sepak tidak mustahil buat anda melakar kejutan,” ujar Bacina.

http://www.hmetro.com.my/

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");