Isu Panas

Tidak mustahil Pas bergerak sendiri

KUALA TERENGGANU: Pas tidak menolak kemungkinan parti itu akan bergerak sendiri berdasarkan senario dalaman parti tersebut.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, sebelum ini Pas pernah beberapa kali bergerak sendiri tanpa terikat dengan mana-mana parti komponen dan ia adalah pengalaman yang mematangkan parti itu sendiri.

“Pas pernah berdikari, Pas juga pernah bersama dengan parti komunis sebelum merdeka. Kita pernah dengan sosialis, Pas pernah bersama kerajaan campuran pada 1970 dengan Umno-Perikatan dan menyertai koalisi pemerintah BN pada 1974.

“Pas juga pernah bersendiri. Pernah pada 1982 semua ahli parlimen Pas dalam Kerajaan Kelantan tiada. Hanya tinggal Allahyarham Tok Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Tapi kini sudah 20 tahun lebih kita perintah Kelantan. DAP baru satu penggal saja menjajah,” katanya ketika ditemui pada Sidang Dun ke-13, di sini, semalam.

Ditanya sama ada tidak mustahil Pas akan bersendirian lagi selepas ini, Abdul Hadi berkata, sebarang kemungkinan boleh berlaku.
“Dalam politik tiada yang mustahil,” katanya.

Mengenai pendirian Pas setelah ahli politik parti itu sendiri menyertai Parti Pekerja Malaysia, katanya, perkara sama pernah berlaku sebelum ini dan ia bukan satu fenomena baharu dalam pasti Islam itu.

“Mengenai ahli politik Pas sendiri yang masuk Parti Pekerja Malaysia, kita akan tunggu laporan penuh daripada badan perhubungan Pas negeri.

“Pas masih teruskan dengan apa yang kita perjuangkan pada hari ini dan kita ada kekuatan kita sendiri.

“Mengenai DAP dan PKR yang terima Parti Pekerja Malaysia, Pas akan lihat dulu bagaimana penerimaan mereka,” katanya.

Abdul Hadi bagaimanapun berkata, sehingga kini pihaknya masih kurang jelas mengenai dakwaan bahawa Parti Pekerja Malaysia akan ganti Pas dalam Pakatan Rakyat (PR).

“Sehingga hari ini tidak jelas sama ada mereka terima parti baharu atau tidak. Pas tak terima parti baharu dan Pas mempunyai sikap yang tegas. Kita jelas, kita ada syarat kerjasama dengan pihak lain.

“Mengenai ahli Pas yang mahu sertai Parti Pekerja Malaysia, setakat ini kita masih tiada maklumat perkara itu,” katanya.

Abdul Hadi berkata, Islam adalah sumber penyatuan bagi kaum Melayu bukan semangat kebangsaan.

“Apabila berpecah semua lemah, Cina dan India pun lemah. Yang pentingnya, bagi menyatukan Melayu adalah Islam, bukan semangat kemerdekaan. Orang Melayu juga perlu ambil kira kaum lain. Jangan abaikan kaum lain kerana kaum lain juga adalah mangsa penjajahan.

“Kita perlu sedar Perang Dunia Pertama dan Kedua, barangkali lebih 60 peratus hamba jajahan menjadi mangsa perang dunia. Penjajah selamat. Yang matinya kita.

“Tak kira kaum apa, oleh sebab itu, memang tidak dinafikan majoriti rakyat adalah Melayu Islam. Pada masa sama, kaum lain sahabat kita yang perlu kita hargai. Itu adalah pendekatan yang perlu diambil,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");