Sukan Hari Ini

Usah takut sertai BAM

BEKAS pemain perseorangan negara, Roslin Hashim menasihati pemain bebas, Zulfadli Zulkifli agar jangan sesekali takut untuk menyertai Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Katanya, pemain berusia 22 tahun itu perlu mencuba setidak-tidaknya mengambil keputusan berada dalam badan induk itu dalam tempoh satu atau dua tahun terlebih dulu.

“Jika tidak cuba, kita tidak tahu. Masuk BAM dulu kerana berada di bawah BAM semuanya terjamin dari segi kewangan, kejohanan dan penajaan.

“Kalau berlatih bagus dan prestasi mantap, sudah pasti mereka (BAM) akan hantar beraksi di kejohanan besar,” katanya ketika dihubungi.

Roslin berkata demikian ketika mengulas kenyataan Zulfadli yang meminta tempoh sehingga esok untuk memberi jawapan sama ada bakal menyertai BAM atau tidak.

Dalam laporan akhbar kelmarin, Zulfadli mahu berbincang dulu bersama keluarga terutama bapanya, Zulkiffli Sidek sebelum memaklumkan semula kepada Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi sama ada bersedia untuk menyertai BAM.

Roslin berkata, dalam situasi ini, Zulfadli perlu berfikiran matang kerana kariernya akan lebih terurus jika berlatih bersama pemain kebangsaan dalam BAM daripada bergerak sebagai pemain bebas.

“Saya tahu mungkin dia takut kerana ramai orang berkata-kata mengenai BAM yang ada masalah dalaman termasuk ramai pemain yang angkat kaki.

“Tapi ini untuk masa depan dia. Jika mahu tingkatkan prestasi, caranya adalah sertai BAM kerana dengan persatuan itu akan menyediakan sistem kejurulatihan yang sistematik dengan kemudahan yang lengkap untuk membantunya.

“Jadi, apa salah untuk mencuba. Selepas mencapai kejayaan barulah memilih haluan sendiri,” katanya.

Sebelum ini Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, selepas Kejohanan Dunia 2015 Jakarta berkata, Zulfadli mampu menjadi pengganti Datuk Lee Chong Wei tetapi dengan syarat harus menyertai BAM secepat mungkin.

Chong Wei turut sependapat dan menganggap tahap permainan Zulfadli tidak akan berubah jika masih berdegil untuk tidak menyertai badan induk itu yang mempunyai banyak kemudahan.-sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");