Program gaya hidup semakin mendapat perhatian orang ramai dan antara saluran paling berpengaruh adalah HGTV yang boleh diikuti menerusi Astro 731 sejak 31 Ogos lalu.
Diterbitkan di Amerika Syarikat (AS), HGTV menjadi pilihan nombor satu di Asia berikutan pengisiannya yang menarik.
Diperkenalkan terlebih dulu di Singapura pada akhir tahun lalu, antara program yang diminati ramai adalah Property Brothers, Cousins Undercover dan Fixer Upper.
Program baru, Ellen’s Design Challenge serta The Shatnet Projek yang menampilkan Ellen DeGeneres dan William Shatner juga tidak kurang hebatnya. Begitu juga dengan Extreme Homes Asia dan Asia Traditions.
Pengarah Urusan Rangkaian Scripps Asia-Pasifik Derek Chang berkata HGTV membawa banyak pembaharuan dan diyakini mendapat sambutan hangat di Malaysia.
“Selepas dilancarkan di rantau Asia tahun lalu, HGTV menjadi saluran gaya hidup pilihan ramai. Berdasarkan pencapaian sebelum ini, saya yakin saluran ini akan menjadi pilihan nombor satu penonton di Malaysia.
“Keistimewaan program HGTV bukan saja pengisiannya bahkan hos yang diketengahkan pun hebat belaka.
“Berbanding saluran gaya hidup lain, banyak panduan baru dan segar akan didedahkan kepada penonton. Apa yang disajikan dekat di hati penonton,” katanya pada majlis pelancaran saluran terbabit di sebuah hotel terkemuka Kuala Lumpur, baru-baru ini.
– Harian Metro