Membawang Hari Ini

Zulin serba boleh

Memulakan langkah dalam industri seni melalui program Pilih Kasih musim pertama pada 2010, kerjaya seni Zulin Aziz, 26, tidak terus bersinar.

Pun begitu, minat dan impiannya untuk membina nama dalam industri seni tidak pernah luntur. Zulin bekerja keras menge­tengahkan bakat seni diwarisi daripada arwah bapanya.

Berkat kesabaran tanpa mengenal erti jemu, Zulin atau Farah Azleenda Abdul Aziz, makin dikenali peminat selepas muncul sebagai pelawak jemputan dalam Anugerah Skrin 2013 di TV3.

Sejak itu, bakat seninya mula bersinar dan peluang mengembangkan karier sebagai anak seni kian bercambah. Bukan sekadar bergelar pelakon, Zulin mampu berlawak dan mengacara.

Bakat pengacaraan Zulin diuji melalui pembabitannya sebagai salah seorang pengacara program hiburan popular Melodi di TV3 bersama Awal Ashaari dan Sherry Alhadad.

Biarpun hanya bertahan selama enam bulan mengendalikan Melodi, gadis kelahiran Kuala Lumpur ini mendapat pula kepercayaan mengacarakan program Diva di TV9.

Serasi bekerja dengan Sherry, kemunculan gandingan duo ini begitu menarik perhatian. Apatah lagi rezeki Zulin juga makin murah sebagai pengacara.

Menggalas tanggungjawab sebagai pengacara program Buletin Lawak di Astro Warna, kepercayaan itu juga tidak disia-siakan Zulin.

Dek kerana tawaran pengacaraan makin kencang diterima, Zulin juga pernah menyuarakan kebimbangan jika lama-kelamaan penonton akan lupa menilai potensi bakat lakonannya.

Sama sekali tidak melupakan lakonan, kebanyakan tawaran diterima Zulin lebih ke arah watak komedi. Meskipun tidak memilih watak, Zulin mengharapkan dia mendapat peluang melakonkan karakter serius dan mencabar.

Apa pun, pada Anugerah Lawak Warna 2015 (ALW 2015) yang berlangsung baru-baru ini, Zulin dicalonkan dalam dua kategori, Artis Lawak Wanita Paling Popular dan Artis Lawak Duo atau Berkumpulan Paling Popular bersama Sherry.

Kini tampil berhijab, Zulin sedar tawaran watak diterimanya agak terhad. Pun begitu, dia lebih selesa berpandangan positif.

Selain berlakon, melawak dan mengacara, Zulin juga dengan berani mengembangkan bakatnya sebagai penyanyi dan sudah ada single Terbiar berentak bossa nova dan balada hasil ciptaan komposer dari Singapura, Ayad Sakti.

Dengan kehadiran lagu itu, secara tidak langsung Zulin kini bergelar selebriti serba boleh.

Tidak hanya bidang nyanyian, Zulin juga pernah menimba pe­ngalaman menjayakan pementasan teater Projek Kahwin di Istana Budaya (IB) tahun lalu.

Zulin juga bakal bergelar pengarah teater tidak lama lagi. Bersesuaian dengan ilmu ditimba dalam pengajian teater di ASWARA, Zulin akan mengarahkan teater 3 Janda.

Bergenre komedi, karya hasil tulisannya itu akan menampilkan Jihan Muse, Sherry Al Hadad dan kumpulan Forteen sebagai teraju utama.

Sepatutnya 3 Janda dipentaskan pada Mei lalu tetapi ditangguhkan kerana kesibukannya terikat ­dengan komitmen lain.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");