Panasnya Hari Ini

5 Lagi Sebab Keburukan Kepimpinan Najib

KUALA LUMPUR: Hipokrit, lupa sejarah, tidak boleh dipercayai, pemberian subsidi oleh rakyat kepada kerajaan dan Kerajaan tidak tahu cermin diri antara yang lima perkara yang disenaraikan oleh penulis sebuah blog yang turut mendakwa antara penyebab mengapa kepimpinan rejim Najib ini terburuk dalam sejarah.

Menerusi penulisannya di ruangan penulis /https://jebatmustdie.wordpress.com/2015/10/25/5-lagi-sebab-mengapa-kepimpinan-rejim-najib-terburuk-dalam-sejarah/turut menyenaraikan contoh yang boleh menguatkan lagi anggapan tersebut.

“Sebelum itu, dukacita dimaklumkan bahawa sebuah kaji selidik yang di jalankan dalam bulan Ogos lalu telah mendapati bahawa 4 dari 5 rakyat Malaysia tidak berpuas hati dengan kerajaan Najib Razak.

“Ini merupakan kedudukan terburuk yang pernah diraih di sepanjang pentadbiran rejim beliau,” tulisnya.

Tambahnya Ini kerana kerajaan ini diketuai oleh barisan kepimpinan yang tidak segan silu melakukan sesuatu perkara yang buruk secara sewenang-wenangnya.

“Setiap sumbangan yang ingin diberikan kepada mana-mana parti politik samaada di peringkat pusat mahupun negeri, hendaklah disalurkan melalui akaun rasmi parti.

“Ini bagi mengelakkan ahli-ahli politik menyalahgunakan nama parti untuk meminta atau menerima apa-apa sumbangan yang kemudiannya diselewengkan untuk kepentingan persendirian,” ucapan yang didakwa penulis dilontarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, pada bulan Februari 2012 yang lalu.

Jelasnya merujuk kepada kenyataan itu juga terdapat gelintir pemimpin berkenaan adalah hipokrit.

Walaubagaimanapun, Najib juga dikatakannya dengan sendiri mengakui apa yang diperkatakannya iaitu apa yang beliau ucapkan bahawa apa-apa sumbangan mesti masuk akaun rasmi parti, kerana ini akan mengelakkan perbuatan rasuah dan penyelewengan.

Namun jelas penulis perbuatannya dengan selamba menerima ‘derma’ berbillion ringgit (RM2.6 billion) dari sumber yang tidak diketahui, malah tidak mahu dijelaskan dengan terperinci kepada umum telah mengakibatkan beliau sendiri dikecam teruk oleh masyarakat dalam dan luar negara.

“Berita bahawa beliau menerima RM42 juta ringgit dari syarikat anak milik kerajaan bernama SRC International juga telah memeranjatkan semua pihak.

“Seolah-olah seperti si Qarun tiba tiba mendapat harta karun yang banyak tetapi dibuat secara senyap-senyap hinggakan timbalan beliau dan semua ahli majlis tertinggi Umno pun tak tahu menahu pasal rahsia tersebut,” katanya.

Tambahnya pelbagai alasan digunakan bagi mempertahankan sumbangan itu termasuklah tindakan untuk pertahankan Malaysia dari ancaman Yahudi, usaha penentangan ISIS, adalah tidak masuk akal sama sekali.

“Ini kerana hingga kini, Najib Razak tidak membentangkan apa-apa bukti tentang perbelanjaan yang beliau lakukan dari RM2.6 billion dan RM42 juta tersebut.

“Mana buktinya? Setakat cakap dengan air liur saja mana cukup. Kita rakyat Malaysia ingin tahu secara keseluruhannya baru lah kita boleh percaya bahawa Perdana Menteri tidak menggunakan sesen pun wang tersebut untuk kepentingan peribadi,” tulisnya lanjut.

Tambahnya lagi, apabila siasatan dilakukan, kebanyakkan daripada’mereka’ licik menukar anggota penyiasat dan melambatkan siasatan.

Pemimpin kini juga didakwa penulis seakan melupai sejarah, apabila dakwanya Najib juga cuba bertindak menyindir Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dengan mengatakan jawatan Menteri Besar Kedah tersebut diberikan juga kepada beliau walaupun masih terdapat Adun yang lebih ‘senior’ dari Mukhriz sepatutnya layak menjadi Menteri Besar.

“Macam lah Najib masa jadi Menteri Besar Pahang dalam tahun 1982 ketika berumur baru 29 tahun tidak ada Adun yang lagi senior masa tu. Siapa Perdana Menteri yang lantik dia? Ada dia nak cakap terima kasih dan ingatkan diri sendiri pasal lantikan tu?,” catatnya lagi.

Ujarnya, terdapat juga seorang Menteri di Kementerian menulis dalam ruangan blognya mengenai betapa setianya Najib ketika menjadi Timbalan Presiden kepada Tun Abdullah Badawi.

“Ya, Najib Razak memang amat setia, sebab itu semasa Pak Lah umum tidak bertanding dalam Perhimpunan Agung Umno, dia langsung tak berkeras menyatakan kepada orang ramai supaya Pak Lah jangan letak jawatan.

“Ada dia nak berlari-lari ke arah rostrum menghalang Pak Lah dari berbuat demikian seperti mana Tan Sri Rafidah Aziz lakukan terhadap Tun Dr Mahathir 13 tahun dahulu?.

“Ya, pada mulanya memang Najib menyokong Pak Lah sejurus selepas pilihanraya 2008. Tapi keadaan berubah lima bulan selepas itu, apabila akar umbi dan ketua-ketua bahagian menolak Pak Lah,” katanya.

Faktanya di sini, Najib adalah penerima manfaat terbesar (greatest beneficiary) apabila Pak Lah turun dari pentadbiran.

“Tak nak secara terbuka ucapkan terima kasih kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin? Sebab beliau lah, akhirnya tuan Presiden boleh dapat ‘derma’ RM2.6 billion ye tak? Kalau betul lah Najib tak mahu mengkhianati Pak Lah, kenapa dia tak berdiri teguh bersama-sama Pak Lah untuk menghadapi pilihanraya umum tahun 2013?,” katanya.

Tambahnya lagi senario itu memberi gambaran bahawa penukaran Perdana Menteri boleh dilakukan pada bila bila masa, tanpa perlu menunggu pilihanraya.

“Najib sendiri melakukannya dalam tahun 2009 apabila dia menurunkan Pak Lah.

“Tun Mahathir pun bersara bukan sebab kalah pilihanraya. Begitu juga Tun Hussein Onn dan Tunku Abdul Rahman. Peralihan kuasa dalam Umno tidak menyebabkan kerajaan Barisan Nasional tumbang,” katanya.

Ujar penulis lagi, idealogi yang Najib war-warkan bahawa Perdana Menteri hanya boleh ditukar jika kalah pilihanraya umum sememangnya tidak berpandukan sejarah dan mempunyai elemen kediktatoran.

“Takkan nak tunggu sampai pembangkang menang pilihanraya, dan Barisan Nasional dah jadi pembangkang baru terhegeh-hegeh nak tukar Presiden Umno? Siapa dalam Umno yang akan jadi Ketua Pembangkang ketika itu?

“Semuanya sudah bisu dan penakut. Kalau yang bukan bisu pun, mereka bercakap tidak masuk akal,” katanya.

Ujarnya ketika Bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas Menteri, Datuk Shafie Apdal menentang penyalahgunaan SOSMA, terdapat juga menteri mendakwa bahawa, dahulu Muhyiddin Yassin juga turut menyokong SOSMA.

Dakwaan itu ternyata serong yang mana kini, rakyat Malaysia sememangnya ramai yang menyokong SOSMA kerana ianya untuk menentang keganasan dan terrorisma dan penentangan itu adalah disebabkan penyalahgunaan kuasa undang undang tersebut.

Jelas penulis lagi, kebanyakkan pemimpin kini juga dakwanya tidak boleh dipercayai

Dalam ucapan Belanjawan 2016 Jumaat lalu, jelas penulis Najib meminta rakyat mempercayai dan memberi keyakinan kepada kepimpinan beliau.

“Kepada rakyat sekalian,… usahlah berbimbang-bimbang dan bergundah-gundah… letakkanlah keyakinan,… taruhlah harapan, bahawa inilah Kerajaan yang boleh dibergantung harap, demi masa depan hari muka, anak cucu dan keturunan kita.

“Bagaimana mungkin nak percaya pada kerajaan jika seringkali cakap tak serupa bikin? Nak beritahu hal sebenar pasal ‘derma’ berbillion pun susah, ini pulak nak suruh kita percaya pada dia bulat-bulat. Ingat tak dulu bila GST mula nak diperkenalkan? Apa yang mereka berjanji pada kita semua?

“Bahawa GST tidak akan membebankan rakyat, kutipan tersebut untuk membina hospital dan infrastruktur yang lain. Tidak kurang juga ada yang berkata bahawa hasil kutipan GST akan dikembalikan kepada rakyat,” katanya.

Namun bagaimanapun pada Belanjawan baru-baru ini Perdana Menteri itu seakan menukar kenyataannya sebelum ini.

“Namun, keadaan telah berubah. Hasrat ini perlu diimbangi dengan realiti kedudukan kewangan negara, berdasarkan perkembangan harga minyak dunia yang tidak menentu seperti yang saya sampaikan tadi.

“Tetapi, disebabkan oleh kekurangan kutipan hasil petroliam, kutipan GST-lah yang terpaksa menjadi tampungan sebahagian besar daripadanya.” katanya.

Kesimpulannya, jelas penulis rakyat kini terpaksa membayar kadar tol lebih tinggi untuk menolong kerajaan membayar perbelanjaan belanjawan, GST pula dikenakan kepada rakyat untuk kerajaan mendapat duit lebih untuk membayar perbelanjaan negara, dan akhir sekali rakyat terpaksa bayar lebih tinggi untuk petrol, gula dan sebagainya kerana subsidi telah dihapuskan agar kerajaan boleh berjimat supaya ada duit lebih untuk menampung dasar fiskal.

Alasan keempat pula jelas penulis rakyat kini dilihat seakan perlu memberi subsidi pada kerajaan.

“Najib sendiri berkata kutipan GST tahun ini adalah RM39 billion. Jika sistem SST tidak dihapuskan, ianya hanya boleh menjana kutipan sebanyak RM18 billion sahaja.

“Di situ, sudah ada tambahan pendapatan sebanyak RM21 billion.

“Tak cukup dengan itu, kerajaan sudah berjimat ratusan juta kerana tidak perlu membayar pampasan kepada syarikat-syarikat tol baru baru ini. Rakyat yang terpaksa menanggung kenaikan tersebut,” katanya.

Tambahnya jika kerajaan kini bijak mentadbir tindakan menyelamatkan 1MDB dengan memberi RM950 juta pada awal tahun ini tidak sepatutnya berlaku, dan berkemungkinan semua tidak perlu terseksa membayar kadar tol yang lebih mahal seperti sekarang.

“Berbillion-billion ringgit juta telah dijimatkan kerana kerajaan tidak perlu menanggung kos subsidi bahan api dan gula.

“Tetapi mana pergi semua duit yang patutnya dah dijimatkan? Kabinet menteri semua ni ingat duit yang mereka belanja dan gaji mereka semua dapat tu sebab dipetik dari pokok-pokok di belakang Seri Perdana ke?

“Dan hutang RM950 juta ‘standby credit’ tu bila 1MDB nak bayar balik pada MOF? Hutang RM42 billion tu siapa yang bakal tanggung? Nak kena jual tanah, jual balik IPP untuk langsaikan hutang? Akhirnya, tanah tergadai, aset semua jadi milik orang, tapi duit jualan semua tu diguna untuk bayar hutang saja,” katanya.

Dakwa penulis lagi, tanah yang dulunya milik kerajaan pun bakal jadi milik swasta atau pihak asing adalah untuk menyelesaikan hutang yang bertimbun.

Ujar penulis lagi, Kerajaan juga dilihat seakan tidak tahu mencermin diri lagi berdasarkan pelbagai dakwaan dan tomahan yang dilontarkan.

“Kalau dah tahu tak pandai nak uruskan duit negara, tolonglah kurangkan waktu bermain golf. Pergilah cari ikhtiar dan pergi ke luar negara untuk cari lebih banyak foreign direct investment (FDI) atau pelaburan langsung asing.

“Atau sekurang-kurangnya letaklah jawatan. Pak Lah pun pandai letak jawatan bila tak dapat undi dua pertiga sewaktu pilihanraya,” katanya lanjut.

Jika negara masih dalam keadaan baik, kerajaan dakwanya sama sekali tidak sepatutnya mengurangkan peruntukkan kepada mana- mana kementerian di dalam belanjawan yang lalu.

“Jika betul ikhlas dalam menangani masalah kos sara hidup rakyat Malaysia, Najib patut memotong gaji beliau dan gaji para menteri untuk membuktikan kesungguhan bahawa beliau bersama rakyat.

“Beliau juga berkata bahawa, “Kerajaan ini tanpa jemu-jemu dan putus-putus ingin membuat kebaikan dan kebajikan kepada sekalian rakyat.”

“Oleh itu, buatlah dengan betul, bukan dengan menganiaya orang tidak bersalah dan melakukan pemborosan berterusan,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");