Jenayah

Anggota komando didakwa

Melaka: Seorang anggota komando dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh, di sini, semalam, atas tuduhan memiliki bahan penerbitan berkaitan kumpulan pengganas Negara Islam (IS) Ogos lalu.

Tertuduh, Muhammad Adib Zakir Zahri, 28, dari Simpang Empat, Alor Setar, Kedah, hanya diam ketika pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Mohd Asri Abd Rahman Sidik.

Berdasarkan pertuduhan, anggota komando itu didakwa memiliki penerbitan yang ada kaitan dengan kumpulan pengganas IS yang turut dikenali sebagai Islamic State of Iraq and Sham, pada jam 8.50 pagi, 19 Ogos lalu, di Balai Polis Sungai Udang, di sini.

Justeru, dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 130JB (1) (a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda dan boleh dilucut hak mana-mana bahan terbabit.

Ketika proses pendakwaan berjalan, tiada sebarang pengakuan dirakamkan sebaliknya tertuduh hanya memperakukan dokumen serta gambar yang ditunjukkan pihak pendakwa kepadanya.

Timbalan Pendakwa Raya Norshazwani Ishak yang mengendalikan kes itu mencadangkan kepada mahkamah agar tidak menawarkan sebarang jaminan kepada tertuduh.

Mohd Asri kemudian menetapkan 5 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes serta permohonan bagi memindahkan kes terbabit ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

-metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");