Jenayah

APMM Tahan Lima Nelayan Indonesia Tangkap Ikan Secara Haram

SHAH ALAM: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Daerah Maritim Klang menahan lima nelayan Indonesia termasuk seorang tekong kira-kira 12 batu nautika di perairan Sekinchan, dekat sini, semalam.

Ketua Penguatkuasa Maritim Daerah, Laksamana Pertama Maritim Mohd Aliyas Hamdan berkata dalam kejadian pukul 2.35 petang itu, sebuah bot nelayan kelas C yang dinaiki kelima-lima lelaki terbabit dikesan dalam keadaan mencurigakan.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati seorang tekong dan empat awak-awak berumur lingkungan 25 hingga 45 tahun sedang melakukan kegiatan menangkap ikan secara tidak sah di kawasan tersebut.

“Pemeriksaan lanjut pula mendapati mereka mempunyai dokumen yang meragukan malah seorang daripada kumpulan lelaki itu tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri.

“Kesemua mereka ditahan kerana tidak mempunyai kebenaran daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia untuk menangkap ikan dan dibawa ke jeti APMM untuk disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Tambah Mohd Aliyas, pihaknya turut merampas 3,500 kilogram hasil tangkapan pelbagai jenis ikan oleh kumpulan warga asing terbabit di dalam bot tersebut.

Sehubungan itu, Mohd Aliyas menyarankan orang ramai menyalurkan sebarang maklumat sekiranya mengetahui sebarang kegiatan menangkap ikan haram supaya aktiviti itu dapat terus dibanteras.

– BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");