Membawang Hari Ini

Azmir Arif: Kelemahan bukan penghalang

SETELAH hampir tujuh tahun mengharungi dugaan dan rintangan sebagai anak seni, akhirnya impian Azmir Arif untuk menghasilkan album penuh menjadi kenyataan.

Album berjudul Cinta Kita Berdua ini memuatkan lapan lagu daripada pelbagai genre seperti balada, pop, tradisional, dan hip hop untuk pilihan pendengar.

“Antara penulis dan komposer yang terlibat dalam menghasilkan lagu-lagu yang cukup indah ini ialah Datuk Freddie Fernandez, Adnan Abu Hassan, Alfa Booty Kesuma, Jeff A to Z, Aesar Mustafa, Nira Aria, Hudson Gan, Qalil, Rosidi Harun, M Alif, Sheikh Qalam dan Faizol Rock,” kata Azmir ketika ditemui Zass, baru-baru ini.

Dengan penghasilan album penuh tersebut, sekali gus penyanyi yang berasal dari Balik Pulau, Pulau Pinang ini membuktikan bahawa penyanyi yang mempunyai masalah sengau ketika bertutur sepertinya mampu mencapai impian meskipun pernah diperlekeh suatu ketika dahulu.

Sekali pandang, Azmir sememangnya memiliki pakej lengkap. Bertubuh sederhana, berkulit cerah dan kacak, tiada siapa sangka penyanyi yang mempunyai bakat luar biasa ketika menyanyi ini mempunyai masalah pertuturan.

“Barangkali inilah yang dikatakan anugerah ALLAH kepada saya. Saya bersyukur dengan ciptaan ALLAH dan memanfaatkan sedikit kelebihan yang diberi di sebalik kekurangan yang ada.

“Betul saya ada masalah pertuturan tetapi ketika menyanyi saya mampu mengalunkan lagu dengan baik. Saya tidak pernah berasa malu dengan keadaan ini, jauh sekali menjadikan ia sebagai bahan ataupun alasan meraih simpati,” katanya.

Dalam pada itu, Azmir kini dalam rangka untuk mempromosikan lagu serta muzik video album tersebut di YouTube.

“Saya berhempas pulas selama bertahun untuk memastikan kesemua lapan lagu yang dimuatkan dalam album ini dapat memuaskan hati setiap pendengar.

“Alhamdulillah muzik video Cinta Kita Berdua mendapat maklum balas yang sangat baik daripada pendengar. Saya banyak mendapat undangan persembahan dari Singapura dan Brunei di samping undangan persembahan di Malaysia,” katanya yang mendapat khidmat penerbit, Rohana Kasih Production.

Selain menyanyi, Azmir juga merupakan duta kepada produk kesihatan dan kecantikan, Mekar Semilu.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");