Berita Hari Ini

Bajet 2016 beri kelebihan perkemas tentera darat

KUALA NERUS: Tentera Darat Malaysia menyambut baik pembentangan Bajet 2016 yang diumumkan Perdana Menteri pada Jumaat lalu yang nyata memberi banyak kelebihan serta mampu memperkemas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) khususnya Tentera Darat.

Panglima Tentera Darat Jen Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor berkata pengumuman peruntukan Bajet 2016 mengenai pembangunan kem tentera darat Esscom di Sabah, secara tidak langsung memudahkan penugasan pegawai dan anggota tentera serta Polis Diraja Malaysia untuk menjaga sempadan.

“Kami amat menghargai keprihatinan kerajaan pusat yang sentiasa menjaga hal keselamatan dan kebajikan tentera dan turut memperkemas aset ketenteraan.

“Ia termasuk pembinaan rumah kakitangan tentera, penyambungan projek 8×8, penambahan aset dan peningkatan infrastruktur serta berbagai lagi,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menyampaikan hadiah pertandingan penutup Kejohanan Payung Terjun Tertutup ATM 2015 di Kompleks Sukan Gong Badak di sini hari ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada pembentangan Bajet 2016 mengumumkan peruntukan RM17.3 bilion kepada Kementerian Pertahanan sebagai komitmen melaksanakan pelan pembangunan keupayaan ATM secara berperingkat.

Peruntukan tersebut antaranya merangkumi memperkemas aset dan teknologi ketenteraan serta turut memperuntukkan sejumlah RM523 juta untuk pembangunan kem tentera darat Esscom di Felda Sahabat, Lahad Datu, Sabah.

Raja Mohamad Affandi berkata menerusi pembangunan kem tentera darat dan markas brigade Esscom di Sabah itu, kem tersebut akan menjadi penempatan perkhidmatan tetap.

“Jadi selepas ini kami tak perlu buat pertukaran anggota. Ketika ini kami bekerjasama dengan pihak Felda dan bila lulus, projek ini akan segera dilakukan.

“Kami jangkakan bila projek ini bermula, ia akan mengambil masa 18 hingga 24 bulan untuk disiapkan,” katanya. – Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");