Sukan Hari Ini

Balas dendam

Kuala Lumpur: Ratu skuasy negara, Datuk Nicol David tidak berdepan masalah untuk mara ke suku akhir Terbuka Amerika Syarikat selepas mudah melepasi halangan Nouran Gohar pada pusingan kedua, semalam.

Nicol hanya memerlukan 34 minit untuk menundukkan pemain Mesir itu dengan kemenangan 11-6, 11-7, 11-7 di Universiti Drexel, Philadelphia.

Pemain kelahiran Pulau Pinang itu dilihat berada pada landasan terbaik untuk bukan saja mengekalkan kejuaraan tetapi menjulang trofi buat kali keempat berturut-turut selepas dia mula mendominasi kejohanan itu sejak 2012.

Menanti Nicol pada suku akhir adalah pemain England, Laura Massaro yang sebelum itu menumbangkan wakil tuan rumah, Amanda Sobhy 11-8, 7-11, 11-4, 11-9.

Pertembungan Nicol dan Laura mengulangi aksi final 2013 yang menyaksikan Nicol menang dalam lima set.

Kemenangan Nicol ke atas Nouran itu berjaya membalas dendam kekalahannya pada suku akhir Terbuka China di tangan pemain berusia 18 tahun itu.

“Dia sebenarnya seorang pencabar yang hebat dan sejak beberapa bulan terakhir ini prestasinya sungguh mengagumkan,” kata bekas pemain nombor satu dunia itu.

Menurutnya, apabila bertemu pemain seperti Nouran sudah pasti dia berasa bersemangat untuk memasuki gelanggang dan fokus kepada permainan sendiri seterusnya mencatat kemenangan.

“Saya masuk ke dalam gelanggang dan beraksi sebaik mungkin mengikut rentak saya. Setiap perlawanan bukan saja berbeza dari segi hari tapi juga dari segi permainan. Saya lihat dia cuba untuk bangkit menentang saya.

“Apa yang saya lakukan ialah pastikan beraksi mengikut rentak sendiri dan berusaha keras,” kata pemain yang berpangkalan di Amsterdam itu.

Nicol menjangkakan perlawanan menarik menentang Laura kerana menurutnya setiap pemain kini cuba beraksi sebaik mungkin serta menghiburkan penonton.

-harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");