Jenayah

Belaian RM5,000

Petaling Jaya: Sanggup membazir wang membeli selendang bunga berharga sehingga RM5,000 setiap satu untuk dihadiahkan kepada pelayan pelanggan (GRO) sebelum dibawa ke hotel untuk melakukan maksiat.

Itu antara kegilaan sekumpulan ahli perniagaan yang rambang mata apabila ditawarkan 53 wanita GRO oleh sebuah pusat hiburan terletak di Dataran Mentari, Sungai Wey di sini.

Difahamkan selendang berharga antara RM100 hingga RM5,000 itu dilelong pemilik premis kepada pelanggan yang sanggup membida untuk mendapatkan pelacur warga asing itu.

Kegiatan itu bagaimanapun dibongkar sepasukan Skuad Taktikal Khas Antimaksiat, Perjudian dan Gengsterisme (STAGG) polis Bukit Aman bersama Bahagian Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya diketuai Asisten Superintendan Mohd Shokri Abdullah, kira-kira 11.30 malam kelmarin.

Seramai 53 wanita dan seorang pondan warga Thailand yang bekerja sebagai GRO di premis itu tidak sempat melarikan diri dan berjaya ditahan polis untuk siasatan selanjutnya.

Ketua Penolong Pengarah STAGG Bukit Aman Senior Asisten Komisioner Khairi Ahrasa berkata, pihaknya melakukan risikan dan pemantauan selama dua minggu sebelum menyerbu premis berkenaan.

Menurutnya, pusat hiburan elit itu dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV) serta turut menyediakan pengawal keselamatan untuk mengesan kehadiran pihak penguatkuasa.

“Modus operandi premis terbabit adalah dengan cara GRO itu mendekati pelanggan dengan mengenakan bayaran serendah RM50 sejam.

“Mereka kemudian turut dipercayai menawarkan perkhidmatan seks di luar premis dengan bayaran antara RM150 hingga RM300,” katanya.

Dia berkata, pemilik premis turut mengadakan majlis khas menjual selendang yang membolehkan pelanggan memilih wanita GRO dimahukan.

“Semua GRO itu dipercayai masuk ke negara ini menggunakan pas lawatan sosial.

“Seramai 60 pelanggan turut ditahan polis untuk pemeriksaan selain 12 lelaki membabitkan warga tempatan, Bangladesh, Filipina dipercayai penjaga dan pekerja premis berkenaan,” katanya.

Menurutnya, polis turut merampas buku catatan GRO, peralatan karaoke, selendang bunga, set televisyen serta wang tunai berjumlah RM3,400.

“Semua yang ditahan akan disiasat mengikut Seksyen 39(b) Peraturan Imigresen dan Seksyen 55B Akta Imigresen,” katanya.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");