Jenayah

Blok sekolah musnah terbakar

DENGKIL – Sebuah blok bangunan satu tingkat Sekolah Kebangsaan Dengkil, Taman Putra, musnah dalam kebakaran kelmarin.

Kejadian berlaku kira-kira jam 4.30 petang itu menyebabkan orang awam terkejut apabila melihat kepulan asap dari arah jalan besar.

Dalam kejadian itu, bangunan yang menempatkan empat bilik termasuk bilik koperasi, kemahiran hidup, prasekolah dan stor sukan itu musnah terbakar.

Penguasa Kanan Bomba II Ketua Zon Selangor Selatan, Azmi Saadon berkata, tiada kemalangan jiwa dilaporkan memandangkan tiada murid di sekolah berkenaan pada waktu kejadian.

Menurutnya, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira 4.38 petang, sebelum tiba di lokasi kejadian 10 minit kemudian.

“Setibanya kami di lokasi, bangunan berkenaan sudah terbakar hampir 90 peratus namun berjaya dikawal supaya tidak merebak ke bangunan berhampiran.

“Anggota kami berjaya mengawal kebakaran sepenuhnya 15 minit kemudian,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Azmi berkata, dua jentera bomba dari Balai Bomba Cyberjaya dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dikerahkan ke lokasi untuk kerja-kerja pemadaman dengan kekuatan tiga orang pegawai dan 13 anggota bomba.

Katanya lagi, punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan.

Sementara itu, seorang pengguna jalan raya, Mohd Faizul Mohd, 32, berkata, dia dan rakannya berasa terkejut melihat kepulan asap ketika melalui kawasan itu.

Katanya, dia sempat memberhentikan kenderaan dan melihat hampir sebahagian blok tersebut sudah terbakar.

– Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");