Jenayah

Bunuh Remaja: Hukuman Mati Ke Atas Rambo Bentong Kekal

PUTRAJAYA: Perogol bersiri yang dikenali sebagai ‘Rambo Bentong’ hari ini gagal mengetepikan hukuman gantung sampai mati kerana membunuh seorang remaja perempuan berusia 17 tahun, enam tahun lepas.

Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Aziah Ali yang mengetuai panel tiga hakim, sebulat suara menolak rayuan Rabidin Satir, 45, terhadap sabitan dan hukuman yang dijatuhi Mahkamah Tinggi Temerloh, 6 Ogos tahun lepas selepas didapati bersalah membunuh gadis itu.

“Selepas kami mempertimbangkan hujahan, mahkamah tidak bersetuju dengan alasan peguam perayu (Rabidin). Kami berpendapat sabitan oleh Mahkamah Tinggi adalah selamat, dengan itu rayuan ditolak, sabitan dan hukuman oleh Mahkamah Tinggi disahkan,” kata Hakim Aziah yang bersidang bersama Hakim-hakim Datuk Rohana Yusuf dan Datuk Dr Prasad Sandosham Abraham.

Terdahulu peguam Suzanawati Ismail berhujah bahawa sabitan itu tidak selamat kerana ahli kimia yang memberi keterangannya di mahkamah hanya bersandarkan kepada laporan DNA yang dianalisis oleh pegawai kimia lain selepas kejadian itu dan dia (ahli kimia) tidak menjalankan analisisnya sendiri ke atas barang kes yang dijumpai di tempat kejadian.

Timbalan Pendakwa Raya Tetralina Ahmed Fauzi berhujah bahawa sabitan itu adalah selamat kerana laporan DNA itu mendapati profil DNA perayu berpadanan dengan cecair yang terdapat di dalam kemaluan mangsa dan beberapa barang kes lain.

Rabidin, dari Kampung Libang Ulu, Tambunan, Sabah, didakwa membunuh remaja itu antara 11.30 malam 7 Mac 2009 dan 1.50 tengah hari 8 Mac 2009, di sebuah rumah di Kampung Ketari Bentong, Bentong, Pahang.

Hakim Mahkamah Tinggi Temerloh Datuk Abdul Karim Ab Rahman menjatuhi hukuman itu setelah mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan dan pembelaan tertuduh juga bersifat penafian.

Bagaimanapun, Abdul Karim membebaskan Rabidin daripada pertuduhan merogol remaja itu kerana mahkamah tidak dapat menentukan sama ada jenayah itu dilakukan tertuduh ketika mangsa masih hidup atau telah mati.

Tertuduh didakwa merogol mangsa di tempat dan pada masa sama. Bagaimanapun hari ini pendakwaan tidak merayu terhadap keputusan kes rogol itu.

Rabidin kelihatan tenang dan bersahaja sepanjang prosiding rayuan itu yang diterjemahkan kepadanya daripada Bahasa Melayu kepada bahasa Dusun oleh jurubahasa mahkamah.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian 7 Mac 2009 pukul 11.30 malam, mangsa sedang bermain komputer di dalam biliknya dan pada keesokannya, 8 Mac 2009, mangsa dijumpai telentang dengan selimut menutup hingga ke leher dan terdapat darah di atas katilnya.

Laporan forensik menunjukkan DNA Rabidin berpadanan dengan kesan air mani pada seluar pendek mangsa dan beberapa barang kes lain manakala laporan patologi mendapati 12 kecederaan luka dan lebam pada remaja itu. Punca kematian adalah kecederaan pada leher akibat senjata tajam.

Rabidin ditangkap pada 14 Nov 2012, di kawasan bukit Taman Sahbandar, Bentong dan polis menjumpai tiga buah beg silang di badannya yang mengandungi topeng, beberapa pasang sarung tangan, sepucuk senapang buatan sendiri, sebatang kuku kambing serta sebilah pisau bersarung.

Rabidin kini menjalani hukuman penjara bagi pelbagai kesalahan lain. Dia dikenali sebagai Rambo Bentong kerana tinggal di hutan bersendirian dan menggunakan pisau Rambo untuk mengugut serta menyerang mangsa.

Pada 5 Feb 2013, Rabidin dijatuhi hukuman penjara 115 tahun dan 50 sebatan oleh Mahkamah Sesyen setelah mengaku bersalah terhadap empat pertuduhan merogol dan satu pertuduhan seks luar tabii yang dilakukan antara 2009 hingga 2011.

Bagaimanapun, pada 29 Nov 2013, Mahkamah Tinggi Temerloh membenarkan rayuan tertuduh dan mengurangkan hukuman kepada 40 tahun dan 24 sebatan.

Pada 21 Mac 2013, dia juga dikenakan hukuman penjara 18 tahun setelah mengaku bersalah menyerang dan mencederakan Konstabel Mohd Suhaimi Md Razali, dengan parang di sebuah rumah di Taman Shahbandar Husin, Bentong pada 2012.

Hukuman bagaimanapun dikurangkan kepada 10 tahun selepas rayuannya dibenarkan mahkamah.

– BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");