Sukan Hari Ini

Cabaran SIC

Kuala Lumpur: Litar Antarabangsa Sepang (SIC) sedia berdepan cabaran menganjurkan dua perlumbaan berprestij Formula Satu (F1) serta Kejohanan Grand Prix Motosikal Dunia (MotoGP) secara berturut-turut dalam tempoh seminggu Oktober tahun depan.

Senario itu berlaku selepas kalendar F1 yang dikeluarkan Majlis Permotoran Dunia (WMSC) menyaksikan perlumbaan F1 di Sepang dijadualkan berlangsung pada 2 Oktober.

Tarikh itu menghampiri penganjuran MotoGP yang kemudiannya diadakan seminggu kemudian.

Ketua Pegawai Eksekutif SIC Datuk Razlan Razali berkata, meskipun pihaknya belum mendapat pengesahan rasmi daripada Pengurusan Formula Satu (FOM) berhubung kalendar musim 2016 itu, SIC tetap bersedia menggalas tanggungjawab cukup berat itu.

“Seingat saya, belum pernah mana-mana negara menganjurkan dua perlumbaan ini secara berturut-turut dalam tempoh yang dekat.

“Sudah pasti ia cabaran besar buat kami kerana kedua-dua perlumbaan itu sangat berprestij dan mempunyai kelompok peminat tersendiri,” katanya ketika dihubungi semalam.

Jelas Razlan, pihaknya sememangnya ada mengemukakan cadangan kepada FOM untuk mengubah kalendar perlumbaan F1 di Sepang musim depan selepas sekian lama Malaysia menganjurkan perlumbaan itu pada awal musim.

“Satu perkembangan yang bagus apabila pihak penganjur mendengar cadangan kami.

“Meskipun dilihat agak sukar, dari satu sudut lain, kalendar yang diubah ini memberi banyak manfaat kepada Malaysia.

“Mungkin kos dapat dikurangkan apabila kedua-dua perlumbaan ini berlangsung dalam tempoh yang dekat,” katanya.

Hanya pada penganjuran pertama iaitu 1999 serta 2000 Malaysia diberi peluang menganjurkan perlumbaan itu di hujung musim dengan selebihnya pada awal musim.

– Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");