Berita Hari Ini

Cadang Julai sebagai Bulan Patriotik

Seremban: Kementerian Pertahanan mencadangkan kerajaan supaya mengisytiharkan Julai sebagai Bulan Patriotik bagi menghargai sumbangan dan pengiktirafan pejuang negara.

Timbalan Menterinya Datuk Mohd Johari Baharum berkata, berikutan 31 Julai diisytiharkan sebagai Hari Pahlawan, kerajaan wajar mengisytiharkan keseluruhan bulan itu sebagai Bulan Patriotik.

Katanya, ia bagi menghargai jasa dan bakti dicurahkan pasukan pertahanan yang selama ini bertungkus-lumus berjuang untuk negara.

Menurutnya, pengisytiharan itu mampu menyemai semangat cintakan negara dan menghargai sumbangan pasukan keselamatan dalam mencapai kemerdekaan.

“Kita menyarankan kerajaan mengumumkan Julai sebagai Bulan Patriotik dan pelbagai acara dianjurkan sepanjang bulan membabitkan semua kaum serta lapisan umur.

“Acara kemuncaknya diraikan pada 31 Julai yang disambut di semua negeri dengan disertai Menteri Besar dan barisan Exco,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) Negeri Sembilan di Dewan Perdana Kementerian Belia dan Sukan, Jalan Warisan Puteri, di sini, semalam.

Hadir sama Presiden PVATM Laksamana (B) Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor dan Ketua Pengarah Hal Ehwal Angkatan Tentera Malaysia Mejar Jeneral Datuk Mohd Nor Daud.

Dalam perkembangan lain, Mohd Johari berkata, kementeriannya akan mengkaji semula kursus yang ditawarkan Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera kepada bakal pesara tentera.

“Antara bakal diberi perhatian adalah penambahan kursus berkaitan pertanian dan perikanan yang terbukti berpotensi besar dan mampu memberi mereka pendapatan lumayan,” katanya.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");