Berita Hari Ini

Cara kerja Stesen Pemantauan Kualiti Udara

KUCHING – Setiap kali negara dilanda jerebu, orang ramai mula prihatin dan mengambil berat mengenai bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di lokasi mereka, namun mereka mungkin tidak menyedari bahawa Stesen Pemantauan Kualiti Udara Automatik yang ditempatkan di 52 lokasi seluruh negara sentiasa ‘bekerja’ – 24 jam sehari tanpa mengira keadaan.

Jabatan Alam Sekitar (JAS) Sarawak menempatkan 10 stesen pemantauan itu di lokasi strategik iaitu di Kuching, Samarahan, Sri Aman, Sarikei, Sibu, Kapit, Bintulu, Miri, ILP Miri dan Limbang bagi mendapatkan bacaan tepat kualiti udara di sesebuah lokasi atau kawasan.

Selain 10 stesen milik JAS itu, negeri ini turut memilik tiga lagi stesen bacaan IPU milik Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar Sarawak (NREB) yang ditempatkan di Tebedu, Lubok Antu dan Lawas.

Pegawai Pemantauan Udara Alam Sekitar Malaysia Sdn Bhd (ASMA), kontraktor JAS yang mengendalikan stesen dan alat bacaan IPU, Lawrence Undi berkata sistem pengiraan bacaan IPU di negara ini adalah berdasarkan kepekatan habuk halus bersaiz kurang dari 10 mikrometer (PM10) dalam tempoh 24 jam.

“Setiap jam, pengukuran kesan kepekatan lima bahan pencemar udara utama iaitu PM10, karbon monoksida (CO), sulfur dioksida(SO2), ozon di permukaan bumi (O3), dan nitrogen dioksida (NO2) terhadap kesihatan manusia yang normal dan dalam jangka masa pendedahan tertentu dilakukan.

“Data yang diperolehi akan diproses sebelum dihantar terus dari stesen ini ke ibu pejabat ASMA di Shah Alam,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di Stesen Pemantauan Kualiti Udara Automatik Kuching hari ini.

Lawrence berkata pihak ibu pejabat ASMA kemudian menghantar data berkenaan kepada ibu pejabat JAS di Putrajaya sebelum dipamerkan di laman web rasmi bagi tujuan rujukan orang ramai.

Wartawan dan jurufoto Bernama berkesempatan memahami cara kerja stesen dan alat pemantauan IPU di stesen itu, yang beroperasi sejak Jun 1995.

Stesen berkenaan juga satu daripada 12 rangkaian Stesen Pengawasan Kualiti Udara yang mampu melaksanakan pengukuran jirim zarah lebih halus bersaiz kurang 2.5 mikrometer (PM2.5).

Pegawai Kawalan Kanan Alam Sekitar JAS Negeri Sarawak Hazrel Izzat Mohd Nor pula berkata bagaimanapun kiraan IPU berdasarkan PM2.5 itu masih diperingkat penyelarasan sebelum dilaksanakan selewat-lewatnya pada tahun 2017.

Menurutnya walaupun masih dalam proses penyelarasan data pengiraan, PM2.5 tetap dimua turun setiap hari dan disimpan dalam bentuk cakera padat dan dihantar setiap minggu ke ibu pejabat JAS di Putrajaya.

– Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");