Sukan Hari Ini

CAS tolak rayuan Kuwait SC

Kuala Lumpur: Johor Darul Ta’zim (Johor DT) sudah boleh mencongak persiapan rapi menjelang aksi final Piala AFC menentang FC Istiklol di Dushanbe, Tajikistan 31 Oktober ini selepas Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) menolak rayuan kelab Kuwait SC yang mahu perlawanan itu ditangguhkan.

Malang menimpa Kuwait SC selepas Persatuan Bolasepak Kuwait (KFA) digantung badan induk bola sepak antarabangsa (FIFA) atas sebab perlembagaan baru yang diperkenalkan di negara itu bertentangan dengan peraturan FIFA.

Hukuman itu menyaksikan Kuwait SC terlepas peluang peluang bermain di final meskipun mendahului FC Istiklol 4-0 pada separuh akhir pertama.

Tidak berpuas hati dengan keputusan itu, Kuwait SC merujuk perkara itu kepada CAS atas alasan mereka menjadi mangsa keadaan dan lebih berhak meraih tiket ke final.

Bagaimanapun, Timbalan Setiausaha Agung Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) Datuk Windsor Paul John mengesahkan CAS tidak menerima rayuan kelab Kuwait itu.

“Kuwait SC ada merujuk masalah ini kepada CAS dua hari lalu (Isnin) kerana mahu FIFA membenarkan mereka bermain di final Piala AFC. Mereka menganggap keputusan FIFA itu sesuatu yang tidak adil sedangkan yang dikenakan hukuman gantung adalah KFA.

“Namun, daripada keputusan yang dikeluarkan hari ini (semalam), rayuan mereka ditolak CAS, jadi perlawanan akhir Piala AFC akan berjalan mengikut jadual dan tiada penangguhan,” katanya kepada Arena Metro semalam.

Selain Kuwait SC, turut menjadi mangsa keadaan Qadsia SC apabila AFC membatalkan perlawanan separuh akhir kedua Piala AFC dengan Johor DT selepas mendapati kelab dari Kuwait itu tidak layak beraksi dalam kejohanan antarabangsa.

Bagaimanapun, Windsor mengesahkan Qadsia SC yang mendahului Johor DT 3-1 pada pertemuan pertama tidak membuat sebarang rayuan kepada FIFA atau CAS.-harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");