Isu Panas

CEC DAP belum diiktiraf

ALOR SETAR – Pendaftar Pertubuhan (RoS) menegaskan bahawa status Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP masih belum mendapat pengiktirafan.

Ketua pengarahnya, Datuk Mohammad Razin Abdullah berkata, ini kerana proses itu masih di peringkat pertimbangan dan siasatan.

“Siasatan ini ambil tempoh lama sebab melibatkan banyak aspek misalnya kehadiran keahlian dan aduan ahli parti.

“Mereka (DAP) boleh bergerak, cuma pergerakan mereka terhad sebab CEC belum diiktiraf RoS,” katanya

Menurutnya, pergerakan terhad itu dikenakan sehingga siasatan penuh bahawa tidak ada sebarang pelanggaran dari segi Akta RoS dan perlembagaan parti.

“Sekiranya semua syarat itu dipatuhi dan RoS berpuas hati dengan siasatan dijalankan, maka baru boleh diiktiraf pemilihan tersebut,” katanya.

RoS pada sebelum ini mengarahkan pemilihan CEC diadakan semula selepas wujud dakwaan penyelewengan pengundian dan manipulasi undi pada pemilihan 15 Disember 2012.

Pemilihan semula CEC pada 29 September 2013 juga masih belum diiktiraf selain mendapat bantahan daripada bekas ahli parti itu yang mendakwa menerima undi daripada perwakilan sedangkan tidak lagi menjadi ahli DAP.

Pada perkembangan lain, beliau menjelaskan bahawa hanya satu Jawatankuasa DAP di Kedah diiktiraf iaitu melalui surat yang dikeluarkan oleh RoS.

“Saya dimaklumkan terdapat dua Jawatankuasa DAP di Kedah dan RoS hanya mengesahkan satu jawatankuasa sahaja iaitu melalui surat yang diiktiraf oleh RoS.

“Patutnya mereka (DAP) ikut dan patuh apa ditetapkan RoS dan bukan atas lantikan yang tidak diiktiraf,” katanya.

Konflik DAP Kedah dipercayai berlaku selepas Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng memutuskan dalam minit mesyuarat pemimpin pusat parti itu melantik Zairil Khir Johari sebagai Pengerusi Interim DAP Kedah Mei 2013.

Pelantikan itu menyebabkan wujud dua Jawatankuasa DAP Kedah termasuk dipengerusikan bekas Adun Kota Darul Aman, Lee Guan Aik.

Pada Ogos 2013, Guan Aik menjelaskan bahawa menerima surat pengiktirafan dari RoS yang mengesahkan pelantikannya sebagai Pengerusi DAP Kedah.

Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) DAP Kedah pada Jun 2014 juga menyaksikan Guan Aik tidak mempertahankan jawatannya dan disandang Tan Chun Ping.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");