Sukan Hari Ini

Danny kian teruja

Kuala Lumpur: Pemain golf profesional Danny Chia kini mensasarkan tiket automatik dalam pasukan Asia bagi saingan Piala EurAsia Januari tahun depan.

Harapannya kian memuncak selepas melonjak ke tangga kelapan senarai Order of Merit Jelajah Asia, berikutan kejayaan menjuarai Taiwan Masters, semalam.

Menurut kenyataan Jelajah Asia, pemain berusia 42 tahun itu sudah mengumpul hadiah wang tunai tertinggi sepanjang kariernya AS$188,138 (kira-kira RM828,368.58) musim ini selepas menjuarai Taiwan Masters dengan kelebihan dua pukulan mengatasi Liang Wen-chong dari China.

“Ia pasti hebat jika saya dapat bermain Piala EurAsia. Beraksi di kejohanan itu pengalaman berharga. Saya tidak sabar menyahut cabaran itu jika diberi peluang,” kata Chia.

Empat pemain Asia dalam posisi teratas senarai itu pada 14 Disember akan terpilih secara automatik bagi pasukan Asia, dan kedudukan Danny ketika ini meletakkan dirinya untuk tiket terakhir.

Baki empat pemain itu bergantung kepada ranking dunia manakala ketua pasukan Asia Jeev Milkha Singh dari India boleh memilih empat pemain lagi bagi menjadikan jumlah keseluruhan 12 pemain untuk menentang Eropah di Kelab Golf & Country Glenmarie pada 15-17 Januari depan.

Untuk rekod, Nicholas Fung adalah pilihan ketua pasukan ketika edisi pertama Piala EurAsia tahun lalu yang menyaksikan Asia bangkit dalam saingan dramatik bagi mengikat Eropah 10-10.

“Saya menonton Piala EurAsia pertama dan kedudukan seri itu sesuatu yang hebat. Ia begitu menarik,” kata Chia yang menaruh harapan tinggi untuk beraksi pada edisi kali ini.

Chia yang kembali beraksi secara kompetitif kira-kira setahun selepas menjalani pembedahan leher pada 2013, berjaya mengawal debaran untuk mengakhiri kemarau gelaran 13 tahun.

Menurut Chia, pakar bedah memasukkan kepingan titanium empat inci ke saraf tunjang untuk mengurangkan tekanan sebelum menjalani proses pemulihan panjang.

“Saya rasa kerja keras selama ini mula menunjukkan hasil. Ketika ini saya lebih menumpukan kepada kekuatan fizikal agar dapat menjadi lebih kuat dan ia banyak membantu,” kata Chia yang turut menjuarai pertandingan Jelajah Pembangunan Asia (ADT) tiga minggu lalu.

– BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");