KUALA LUMPUR: DAP menyatakan keyakinan dan kemampuannya bagi menawan lapan kerusi yang dimenangi PAS di Selangor.
Kenyataan itu dilontarkan oleh Pengerusi DAP Selangor, Tony Pua pada satu sidang media di Ibu Pejabat DAP, hari ini memetik laporan daripada Therakyatpost hari ini.
Tambahnya DAP akan mencapai kemenangan apabila ia melibatkan saingan tiga penjuru antara PAS, DAP dan Barisan Nasional (BN) berlaku di lapan kerusi Dewan Undangan Negeri itu, pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Lapan kerusi itu adalah Seri Serdang, Dusun Tua, Taman Templer, Tanjong Sepat, Chempaka, Lembah Jaya, Paya Jaras dan Meru.
“Kami akan membuat persediaan diperlukan untuk kami bertanding di kerusi-kerusi itu, bermula dengan Taman Templer.
“Langkah pertama, kami perlu melantik Edry Faizal sebagai penyelaras untuk DAP bertanding di sana,” katanya.
Namun perbincangan perlu diadakan terlebih dahulu dalam mesyuarat Pakatan Harapan di Selangor.
Tambahnya lagi, satu majlis makan malam bagi mengumpul dana akan diadakan di Prima Selayang pada 17 Disember ini dan sebuah pusat khidmat DAP yang baru akan dibuka di kawasan terbabit untuk memudahkan pihak DAP bertapak di lokasi berkenaan.
Ujar Pua lagi, Parti PAS juga sering menyatakan keinginan untuk bertanding di kerusi DAP.
“Kami percaya kami ada pengaruh penting di kawasan berkenaan. Kami boleh menang dan tidak akan membahayakan kerajaan Pakatan Harapan di Selangor,” katanya.
Terdahulu Pua pernah memberi amaran kepada PAS lebih memberi keutamaan dalam mempertahankan kerusi yang dimiliki kini selain berniat untuk bertanding dan mengambil alih kerusi DAP.