Perak Hari Ini

Devamany Umum Bertanding Jawatan Timbalan Presiden MIC

IPOH: Bekas Naib Presiden MIC, Datuk Seri S K Devamany hari ini mengumumkan bahawa beliau akan bertanding bagi jawatan Timbalan Presiden MIC dalam pemilihan semula parti itu yang dijangkakan akan berlangsung pada November depan.

Beliau yang juga merupakan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak berkata, keputusan tersebut dibuat selepas mengambil kira pandangan yang diperolehi daripada akar umbi ketika melakukan siri jelajah ke seluruh negara.

Ujarnya, keputusannya untuk bertanding dalam pemilihan semula tersebut adalah untuk mempertahankan kedudukannya sebagai ‘nombor dua’ dalam hierarki kepimpinan MIC yang telah diluluskan oleh Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS).

“Keputusan ini dibuat kerana sekarang status saya mengikut pendaftar pertubuhan iaitu ROS yang telah meminta Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) 2009 untuk membuat pemilihan semula.

“Maka saya mempertahankan kedudukan saya sebagai tempat kedua dalam hierarki parti seperti mana yang telah direstui oleh RoS untuk CWC 2009,” katanya dalam sidang media ketika mengumumkan berkenaan perkara tersebut di sini, hari ini.

PERAK TODAY 2

Tambahnya lagi, beliau akan menggunakan pengalaman yang dimilikinya untuk memenuhi permintaan yang dibuat oleh Presiden MIC, Datuk Seri Dr S Subramaniam.

Devamany berkata, Subramaniam dalam ucapannya dibeberapa negeri telah menegaskan bahawa parti MIC perlu relevan di peringkat akar umbi untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 yang bakal diadakan tidak lama lagi.

“Kita perlu mengadakan satu wadah sosioekonomi dan kesinambungan kepada rakyat diperingkat bawah iaitu akar umbi khususnya pengundi masyarakat India.

“MIC perlu relevan dan untuk itu kita terpaksa turun padang untuk mendekatkan diri kita dengan rakyat melalui program-program yang dirangkakan serta diimplimentasikan melalui pelbagai saluran yang beliau katakan.

“Maka saya telah bersetuju untuk bersama beliau dalam perjuangan ini dan sebab itulah saya menawarkan pengalaman yang saya ada dalam kepimpinan parti MIC,” tegasnya lagi.

Terdahulu, ROS telah membatalkan keputusan pemilihan yang diadakan pada November 2013 berikutan aduan yang dibuat mengenai berlakunya penyelewengan dalam proses pemilihan parti tersebut.

ROS kemudiannya mengarahkan anggota CWC yang dipilih pada 2009 untuk mengendalikan pemilihan semula parti.

Setakat ini, MIC telah selesai mengadakan pemilihan di peringkat cawangan pada bulan Julai lalu, manakala bagi peringkat bahagian pula telah diadakan pada bulan lepas.

Semasa pemilihan presiden yang diadakan pada 21 Ogos yang lalu, Subramaniam telah menang tanpa bertanding untuk jawatan presiden bagi penggal 2013-2016.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");