Berita Hari Ini

Ekonomi suram buat kerajaan cari inisiatif

KUALA LUMPUR: Keadaan ekonomi dunia yang suram mendorong kerajaan untuk bekerja lebih keras dalam inisiatif perjanjian perdagangan termasuk Perkongsian Trans-Pasifik (TPP), demikian menurut Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti).

Menterinya, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, Malaysia sebagai sebuah negara perdagangan kini berdepan pelbagai cabaran luar sebagaimana yang dapat dilihat dalam unjuran pertumbuhan perdagangan dunia tahun ini yang kurang daripada tiga peratus.

“Dalam tempoh empat tahun lepas, pertumbuhan perdagangan dunia kurang daripada pertumbuhan KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) dunia, jadi adalah lebih penting sekarang untuk tampil dengan pasaran terbuka,” katanya kepada pemberita semasa ditemui pada klinik penyelesaian masalah Asean Pathfinder Malaysia yang julung kali diadakan di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Ketua Pegawai Eksekutif Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu), Datuk Seri Idris Jala.

Selain daripada TPP, Mustapa berkata, Malaysia juga sedang mengusahakan Kerjasama Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-Kesatuan Eropah (Malaysia-EU FTA).

Klinik untuk syarikat-syarikat Malaysia itu akan bertindak sebagai model bagi Asean dan persediaan klinik penyelesaian masalah lain yang akan diadakan di pasaran Asean.

Bagi keseluruhan projek Asean Pathfinder, beliau berkata, kira-kira 100 syarikat telah dipilih dalam kalangan 10 negara anggota Asean untuk mengambil bahagian dalam proses penyelesaian masalah secara langsung antara kerajaan dengan kerajaan (G2G) dan berstruktur di setiap destinasi Asean.

Beliau berkata, penglibatan berkenaan akan dijalankan secara “gaya klinik” di mana setiap syarikat akan bertemu dengan agensi-agensi berkaitan secara individu dan secara berasingan.

“Satu pasukan petugas bersama yang terdiri daripada pegawai-pegawai kerajaan yang dikenal pasti dari setiap negara anggota Asean akan membantu memudahkan tugasan ini,” katanya.

Beliau berkata, pada akhir proses, pelan tindakan untuk menghapuskan halangan perdagangan dan pelaburan yang dihadapi oleh setiap syarikat akan didokumenkan, bersama-sama dengan mekanisme pemantauan untuk memastikan akauntabiliti dan pelaksanaan.

“Dengan menghadapi isu-isu secara berdepan dan berurusan dengan mereka secara kerjasama, kita berharap proses itu boleh menjana idea dan membantu mengubah minda yang boleh diterjemahkan ke dalam rangka kerja dasar masa depan Asean dan mod operasi,” tambahnya.

Mustapa menggesa pihak-pihak yang mengambil bahagian agar melihatnya melangkaui sempadan serta menganggap diri mereka sebagai satu, bersatu dengan persamaan dalam matlamat, nilai dan aspirasi.

Beliau juga menggesa sektor awam supaya meningkatkan usaha untuk memudahkan proses dan mengurangkan karenah birokrasi serta belajar daripada kesilapan satu sama lain dan berkongsi amalan terbaik. – Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");